Wednesday 30 July 2014

Syawal berdarah di bumi Gaza


SEORANG lelaki yang mendukung bayinya memerhatikan kediaman pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang ranap dimusnahkan serangan udara tentera Israel di Gaza City, semalam. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
GAZA CITY 29 Julai - Bumi Gaza terus bermandikan darah pada 1 Syawal apabila kira-kira 100 lagi terbunuh hari ini, kematian tertinggi dalam tempoh 23 hari serangan Israel.
Israel turut membedil rumah pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, namun beliau dilaporkan terselamat dan kediamannya di kem pelarian Shati, ranap sama sekali.
Anak lelakinya, Abed Salam dalam kenyataannya berkata, rumah bapanya diserang sebanyak dua kali dan tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan terbabit.
Sumber perubatan Palestin melaporkan, tentera rejim Zionis semakin melampaui batas kemanusiaan apabila menjadikan kem pelarian dan hospital awam di Shati sebagai sasaran serangan udara.
Kebanyakan yang maut ialah kanak-kanak termasuk lapan yang terkorban ketika sedang bermain di taman permainan di kem pelarian itu.
Penghuni kem itu berkata, pesawat F-16 milik tentera Israel membedil kawasan terbabit yang terletak di tepi pantai utara Genting Gaza sehingga menyebabkan dua lagi penduduk Palestin maut, menjadikan angka korban meningkat kepada 100 orang sepanjang hari ini.
Jumlah kematian akibat operasi ketenteraan Israel ke atas Gaza yang masuk hari ke-23 hari ini, bertambah kepada 1,116 orang dan lebih 6,000 lagi cedera.
Satu serangan kereta kebal Israel hari ini mengakibatkan sebuah loji janakuasa elektrik di Genting Gaza meletup, mengakibatkan gangguan elektrik ke seluruh wilayah berkenaan.
Sebanyak 10 tentera Israel turut maut dalam pertempuran dengan seorang anggota komando pergerakan Hamas di Nazal Oz dekat sempadan Gaza. - AFP/AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140730/lu_01/Syawal-berdarah-di-bumi-Gaza#ixzz38ti6i8p2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment