GAZA - Tentera Israel berterusan membedil beberapa sasaran di Genting Gaza semasa umat Islam di seluruh dunia masih meraikan Aidilfitri semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, Israel perlu berperang untuk tempoh yang panjang di Gaza sekali gus memusnahkan harapan untuk menamatkan pertempuran yang berlanjutan sejak 22 hari lalu.
"Kami tidak akan menamatkan misi ini (menyerang Gaza), kami tidak akan berhenti selagi tidak memusnahkan semua terowong Hamas yang dibina untuk menghapuskan rakyat kami dan membunuh anak-anak kami," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan stesen televisyen Israel.
Sebuah pesawat Israel membedil peluru berpandu yang mengenai rumah bekas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menjelang subuh semalam.
Serangan itu menyebabkan kediaman Haniyeh rosak teruk tetapi tiada kematian dilaporkan.
Namun, pada hari yang sama sebanyak 11 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di kem pelarian Bureij di Bandar Gaza.
Tentera Zionis turut menyerang kem pelarian Nusseirat yang terletak di tengah Genting Gaza semalam.
Sumber perubatan memberitahu, menjelang hari raya kedua semalam sebanyak 24 orang di Gaza terbunuh akibat bedilan tentera rejim Zionis termasuk sembilan wanita dan empat kanak-kanak.
"Tiba-tiba kami dihujani peluru berpandu," kata penduduk Gaza, Mohamed al-Dalo.
Menurut Hamas pula, beberapa lokasi penyiarannya termasuk stesen televisyen Al-Aqsa dan Radio Al-Aqsa turut menjadi sasaran siri serangan Israel itu.
Rejim Zionis mula membedil Gaza pada 8 Julai lalu dengan tujuan menamatkan serangan roket Hamas dan sekutu-sekutunya.
Pada hari sama sejumlah roket yang dilancarkan dari Gaza mengenai sasaran di selatan dan tengah Israel termasuk sekitar bandar raya Tel Aviv.
Namun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam serangan tersebut.
Sementara itu, agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Gaza, UNRWA melaporkan bahawa lebih 167,000 penduduk Palestin bertindak mencari perlindungan di beberapa buah sekolah dan bangunan selepas rejim Zionis Israel mengarahkan mereka meninggalkan kediaman masing-masing menjelang satu operasi ketenteraan.
"Ancaman Israel ini tidak akan dapat menakutkan Hamas atau bangsa Palestin. Israel akan mendapat balasan kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kanak-kanak dan orang awam," kata jurucakap Hamas, SamiAbu Zuhri ketika mengulas ancaman Yahudi itu. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz38u6aFxFS
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment