Wednesday 30 July 2014

Media Israel kritik John Kerry


WASHINGTON 29 Julai - Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula goyah apabila Washington terpaksa mempertahankan kenyataan Setiausaha Negara AS, John Kerry berhubung operasi ketenteraan ganas tentera rejim di Genting Gaza, yang mengundang kritikan hebat daripada media rejim Zionis.
Kemelut antara dua sekutu rapat itu tercetus selepas kegagalan Kerry membantu persetujuan gencatan senjata antara pergerakan Hamas dan Israel, selain beliau menyifatkan tindakan rejim Zionis di Gaza sebagai 'operasi neraka kecil' ketika ditemubual dalam rangkaian berita Fox News awal bulan ini.
Media Israel mengkritik keras idea Kerry selepas maklumat usul perjanjian gencatan senjata itu bocor ke pengetahuan pihak media bahawa beliau mahu operasi ketenteraan untuk memusnahkan terowong Hamas dihentikan bagi membuka jalan rundingan antara rejim Zionis dan Hamas.
Malah media Israel menuduh Kerry sebagai pengkhianat apabila meletakkan tajuk besar, John Kerry: The Betrayal (John Kerry: Si Pengkhianat) dalam satu ruangan pendapat akhbar Times of Israel sambil menyifatkan campur tangan beliau dalam konflik di Gaza memberi kekuatan kepada Hamas untuk memusnahkan Israel.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki bagaimanapun menolak kritikan Israel dengan menyifatkan alasan Kerry terlibat dalam konflik di rantau Asia Barat itu bertujuan untuk menghentikan serangan roket Hamas dari Gaza.
Jelasnya, Kerry masih merupakan sekutu rapat Israel dan kritikan media terhadap beliau bukan cara dua sekutu rapat saling berhubung.
"Saya tidak mahu mengulas motif kebocoran maklumat usul perjanjian itu, tetapi mereka (Israel) perlu menyokong usaha berkenaan dan tidak patut mengecam atau menyerang pihak yang memainkan peranan penting untuk menjayakan perjanjian tersebut," katanya.
Di White House, Timbalan Penasihat Keselamatan Negara, Tony Blinken berkata, usul gencatan senjata tersebut bukan idea AS tetapi draf awal yang dibuat oleh kerajaan Mesir bagi mendapatkan maklum balas daripada Israel. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140730/lu_03/Media-Israel-kritik-John-Kerry#ixzz38tjQY4Qx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment