|
GAZA - Tentera Israel meningkatkan serangan udara di Gaza semalam dengan menyebabkan lebih ramai kematian dan kecederaan dalam kalangan penduduk Palestin berbanding kelmarin.
Kematian itu turut berlaku ketika pertempuran melibatkan serangan roket para pejuang Palestin dengan tembakan peluru berpandu milik rejim Israel berlangsung.
Pada hari kedua, roket-roket dilancarkan oleh para pejuang Palestin mengenai kawasan tepi pantai Tel Aviv, Israel.
Dalam pada itu, angka kematian meningkat kepada 80 orang termasuk lima kanak-kanak Palestin yang merupakan antara 21 orang yang terbunuh dalam serangan udara Israel semalam.
Kebanyakan pertempuran yang melibatkan kematian dan kecederaan berlaku di bandar Khan Younis, selatan Gaza.
Tentera Israel melancarkan operasi untuk menangani serangan roket dari Palestin menjelang subuh pada Selasa lalu.
Kematian di Gaza itu juga melibatkan tujuh orang yang menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia di tepi pantai dan lapan anggota keluarga di sebuah rumah yang musnah dalam serangan tersebut.
Kebanyakan yang meninggal dunia itu melibatkan orang awam yang terkena serpihan objek selepas jet-jet tentera Israel melakukan serangan ke atas rumah-rumah yang disyaki para pejuang Palestin.
Menurut laporan agensi berita Alray, lebih 550 orang penduduk Palestin mengalami kecederaan akibat serangan itu.
Roket-roket yang dilancarkan para pejuang Palestin itu ke wilayah Yahudi berjaya ditembak jatuh menerusi sistem pertahanan Iron Dome milik Israel.
Stesen televisyen Channel 2 melaporkan, lima buah peluru berpandu ditembak jatuh di sekitar kawasan Tel Aviv.
Dalam salah satu serangan tentera Israel, seorang remaja berusia 19 tahun terbunuh di selatan Gaza.
Di kem pelarian Nusseirat, tengah Gaza, sebuh roket mengenai sebuah rumah menyebabkan seorang lelaki terbunuh.
Tiga orang turut terbunuh apabila sebuah peluru berpandu mengenai sebuah kereta di barat Bandar Gaza.
Seorang lelaki yang mengalami kecederaan teruk dalam serangan di timur Bandar Gaza juga telah meninggal dunia.
Menurut seorang jurucakap tentera Israel. Peter Lerner, tentera Israel, turut memanggil 20,000 askar simpanan untuk berdepan serangan darat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dalam satu taklimat kepada Majlis Keselamatan semalam turut mengutuk serangan roket yang dilancarkan tentera Israel selain menggesa negara itu menghentikan serangan tersebut.
Amerika Syarikat (AS) kelmarin mendesak Israel dan para pejuang Palestin mengurangkan tekanan di Gaza dan menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan orang awam.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki memberitahu, Setiausaha Negara, John Kerry telah berbual dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan merancang untuk bercakap dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berhubung serangan regim Zionis.
Mahmoud turut menuduh Israel melancarkan pembunuhan kaum di Gaza.
Selain melancarkan serangan ke atas bandar Tel Aviv dan Baitulmuqaddis, Hamas turut melakukan serangan roket ke bandar Zichron Yaakov, lebih 100 kilometer ke utara Gaza.
Dalam pada itu, pihak berkuasa di Mesir membuka pos menyeberangi sempadan di Rafah bagi membawa penduduk Palestin yang cedera untuk menerima rawatan.
Keganasan itu bermula tiga minggu lalu apabila tiga remaja Yahudi diculik di Tebing barat.
Ketiga-tiga remaja itu kemudian dibunuh dan mayat mereka ditemui pada minggu lalu.
Seorang remaja Palestin kemudian diculik dan dibunuh di Baitulmuqaddis bagi membalas dendam berhubung kematian ketiga-tiga remaja Israel tersebut.
Pertempuran itu juga menyebabkan kafe-kafe di Tel Aviv lengang apabila para pelancong dan penduduk tempatan enggan berkunjung ekoran serangan roket para pejuang Palestin.
Kali terakhir Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza adalah pada tahun 2012. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz376qijbjj
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment