Friday 11 July 2014

Hamas hantar komando


ANGGOTA pergerakan Hamas melancarkan roket ke wilayah Israel dari Genting Gaza, semalam. - Reuters
GAZA 10 Julai - Briged Qassam yang merupakan sayap tentera pergerakan Hamas telah menghantar komando ke wilayah Israel sebagai tindak balas untuk menyerang pangkalan-pangkalan tentera rejim Zionis tersebut, ketika Israel memperhebatkan operasi ketenteraan ke atas Gaza.
Pegawai Hal Ehwal Luar di Universiti Islam di Gaza, Dr. Wesam Ahmed berkata, sejumlah komando daripada briged itu telah berjaya memasuki Israel melalui sempadan Gaza baru-baru ini.
"Setakat ini, mungkin 10 orang sudah berjaya memasuki Israel untuk melancarkan serangan balas. Lebih ramai lagi dijangka dihantar bagi melaksanakan misi berkenaan,’’ katanya ketika dihubungi dari Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, Hamas turut melancarkan serangan roket ke atas beberapa lokasi di bandar-bandar Israel bagi membalas serangan rejim Zionis tersebut.
"Sebuah roket yang dilancarkan dari Palestin berjaya mengenai sasaran di Demona di mana terdapatnya loji tenaga nuklear Israel,’’ katanya.
Beliau berkata, sejumlah orang terbunuh dalam serangan ke atas Israel, namun rejim Zionis cuba menyembunyikan keadaan tersebut.
"Berdasarkan sumber media, sejumlah penduduk Israel dilaporkan terbunuh dalam serangan di Israel, namun kejadian itu cuba disembunyikan bagi tidak menjejaskan semangat mereka,’’ katanya. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140711/lu_05/Hamas-hantar-komando#ixzz376kWAvm5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment