Thursday, 24 July 2014

PLO setuju tuntutan Hamas


GAZA/BAITULMAQDIS 23 Julai - Badan pembuat keputusan Palestin yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas, hari ini mengesahkan tuntutan pergerakan Hamas untuk menghentikan pertempuran di Gaza dengan Israel, langkah yang dapat menjayakan gencatan senjata anjuran Mesir.
Dengan galakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, Mesir cuba mendapatkan kedua-dua pihak untuk menghentikan serangan dan kemudiannya membincangkan terma untuk melanjutkan tempoh keamanan di Gaza setelah lebih 624 penduduk Palestin terkorban dalam serangan selama 15 Israel ke atas wilayah Palestin itu.
Hamas, pergerakan Palestin yang menguasai Genting Gaza dan beberapa kumpulan bersenjata lain di wilayah Palestin situ sebelum ini menolak gencatan senjata yang ditawarkan Kaherah dengan mahukan jaminan yang dapat mengurangkan sekatan Israel-Mesir dan beberapa konsesi lain.
Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) hari ini secara rasmi menyokong terma yang dituntut oleh Hamas.
"Tuntutan Gaza supaya dihentikan pencerobohan dan penarikan semula semua bentuk sekatan, adalah merupakan permintaan semua penduduk Palestin dan mereka mewakili matlamat kepimpinan Palestin yang mendedikasikan kesemua kuasa mereka bagi mencapainya," kata pemimpin kanan PLO, Yasser Abed Rabbo di Ramallah.
Yasser berkata, mereka yakin Gaza tidak akan dipecahkan selama mana penduduk Palestin berdiri teguh bersama dan menyokong sebarang kemungkinan sehingga penceroboh faham bahawa rakyat Palestin di dalam dan di luar tidak akan meninggalkan Gaza.
Sebagai isyarat kepada kenyataan Mahmoud, pemimpin pergerakan Fatah, pada masa sama semalam mencadangkan satu gencatan senjata, diikuti lima hari rundingan tentang terma-terma perjanjian berkenaan.
Bagaimanapun, masih tiada maklum balas segera daripada Hamas atau Israel tentang kenyataan PLO itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140724/lu_03/PLO-setuju-tuntutan-Hamas#ixzz38Km6P1kY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment