Friday 18 July 2014

Mujahid cilik


Oleh Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman

Gaza: Membesar di tengah kancah peperangan dengan dentuman bom menjadi rutin harian, kanak-kanak Palestin di bumi Gaza dikurniakan Allah dengan fikiran lebih matang berbanding rakan sebaya mereka di negara lain.

Dalam menggerakkan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘From Gaza With Love’ yang saya asaskan sendiri, setiap hari saya berjumpa, berbual-bual dan menghabiskan masa dengan kanak-kanak.


Hasil usaha yang sedikit ini, setakat ini saya menghimpunkan 210 kanak-kanak dan remaja Palestin yang kehilangan ibu bapa, berusia antara lapan hingga 16 tahun.



Mereka saya sifatkan sebagai pahlawan kecil begitu bijak berkata-kata dengan berkongsi penderitaan dialami, selain harapan mereka untuk meneruskan kehidupan.


Seorang daripada mereka, Ahmad Muzayyen, 9, sering menceritakan harapan suatu hari nanti negara mereka akan bebas daripada kacau ganggu kuasa lain terutamanya tentera Zionis.


Dia sangat bersemangat untuk pergi ke sekolah tanpa sebarang ketakutan dan sering mengimpikan kehidupan sederhana bersama orang tersayang serta mendapatkan pendidikan secukupnya.

Secara jujurnya, saya sebak setiap kali berbual dengan mereka. Biarpun usia begitu muda, mereka ada impian melihat negara mereka bebas merdeka. dan mengimpikan suasana kehidupan damai.


Kepada semua sahabat di Malaysia yang prihatin, anda boleh memberi sumbangan menerusi akaun CIMB 7600809829 (Salamah Ahmad Shah) untuk saya salurkan terus kepada rakyat Palestin terutama kanak-kanak malang ini.

Pahlawan kecil ini yang banyak mewarnai kehidupan saya di bumi anbiya’ ini. Mereka juga banyak memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan kerja amal, walaupun nisbah bantuan yang saya hulurkan amatlah kecil berbanding pihak lain.


Saya mengerti mereka ini jemu melihat dan mengalami penderitaan. Mereka melihat pertumpahan darah daripada adik, abang, bapa saudara, ibu bapa dan jiran yang gugur syahid kerana mempertahankan negara dicintai.


Marilah kita sama-sama membantu dan berdoa kepada Allah SWT untuk merealisasikan impian mereka. Alangkah indahnya jika suatu hari nanti anak Palestin ini boleh menikmati kehidupan seperti rakan seusia mereka di negara lain.


Mereka berhak bermain, belajar dan mengikuti alam persekolahan tanpa bunyi tembakan senjata dan bedilan peluru berpandu.


Di penghujung catatan kali ini, ingin saya kongsi sedikit situasi terkini di Gaza. Hamas dan Israel bersetuju melakukan gencatan senjata lima jam untuk membolehkan bantuan kemanusiaan pihak luar disampaikan kepada orang awam.


Secara peribadi, saya masih was-was sejauh mana gencatan senjata ini dapat dilaksanakan. Bagi saya, sinar keamanan masih jauh daripada pasti. Doakanlah keselamatan dan kesejahteraan kami di sini dan semoga Allah terus melindungi Palestin.


>>Penulis pelajar jurusan Syariah Universiti Islam Gaza

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

No comments:

Post a Comment