Friday 18 July 2014

Israel setuju henti bedil Gaza 5 jam


BANDAR GAZA - Satu gencatan senjata selama lima jam berkuat kuasa di Genting Gaza semalam ketika bilangan mangsa terus meningkat selepas 10 hari serangan rentas sempadan berlaku.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) berterusan membedil Gaza diikuti bedilan roket Hamas yang mengenai beberapa kawasan di Israel termasuk di Tel Aviv.
"Angka kematian di Gaza yang padat dengan penduduk meningkat kepada 227 orang manakala 1,685 lagi cedera, kebanyakan mereka adalah kanak-kanak," kata jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra.
Dalam pada itu, rejim Zionis bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tersebut bermula pukul 10 malam semalam waktu Israel seperti yang diminta oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sepanjang tempoh itu, IDF akan menangguhkan bedilan ke atas Gaza bagi membolehkan orang awam mendapatkan semula barangan keperluan mereka.
Namun, IDF akan meneruskan serangan jika Hamas terus membedil roket ke arah Israel semasa tempoh gencatan senjata itu berkuat kuasa.
Tempoh sifar bedilan itu turut mendapat persetujuan Hamas, menurut jurucakapnya, Sami Abu Zuhri di sini seperti yang dilaporkan oleh stesen penyiaran Amerika Syarikat, CNN.
Sekurang-kurangnya 22,000 penduduk Gaza kini berlindung di beberapa buah sekolah di sini yang diuruskan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0718&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz37ljmSjMW 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment