BANDAR GAZA - Beberapa kereta kebal dan jet tentera Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza semalam.
Serangan itu dilancarkan ketika para pejuang Hamas menuntut supaya rejim Zionis dan Mesir membuka pintu sempadan yang selama ini disekat bagi mengelak bantuan sampai di Gaza.
Para pegawai kesihatan berkata, kempen ketenteraan Israel memasuki hari yang ke-16 semalam telah mengorbankan 718 nyawa penduduk Palestin dengan kebanyakannya terdiri daripada orang awam.
Israel berhadapan dengan kematian 32 anggota tentera sejak 17 Julai lalu.
Operasi serangan darat dan udara dilancarkan bagi mengekang roket-roket para pejuang Hamas dari Gaza memasuki wilayah Israel.
Tentera Israel akan melancarkan serangan di Gaza sehingga rangkaian terowong canggih untuk merentasi sempadan yang dibina para pejuang Hamas berjaya diruntuhkan.
Dua orang awam dan seorang pekerja warga Thailand di Israel juga terbunuh dalam peperangan itu.
Polis Gaza dan pegawai-pegawai kesihatan berkata, enam bersaudara daripada sebuah keluarga dan seorang bayi berusia 18 bulan terbunuh selepas jet pejuang Israel membedil kem pelarian Jebaliya.
Sebanyak 20 orang yang lain cedera dalam serangan itu.
Menurut beberapa pegawai kesihatan, pasukan penyelamat terpaksa menggali di bawah runtuhan rumah untuk mencari mangsa yang terselamat.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry berlepas ke Israel dengan menaiki sebuah pesawat untuk bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), Ban Ki-moon untuk kali kedua pada minggu ini.
Pertemuan itu diadakan sehari sebelum Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS melarang sebarang penerbangan ke Lapangan Terbang Ben-Gurion di Tel Aviv ekoran serangan tembakan roket Hamas.
Pihak FAA bagaimanapun menarik balik larangan itu tengah malam kelmarin.
Namun syarikat penerbangan Eropah masih menghentikan penerbangan ke destinasi itu sehingga semalam.
"Apa yang pasti kita telah melakukan tindakan awal," kata Kerry di Baitulmuqaddis tanpa menjelas lanjut.
Beliau kini berdepan cabaran untuk melaksanakan gencatan senjata apabila para pemimpin Hamas enggan berdamai selagi tuntutan utama mereka supaya sempadan Mesir-Israel dibuka.
"Kami merupakan pemilik sebenar tanah ini," kata seorang pemimpin Hamas, Khaled Mashaal dalam satu ucapan televisyen dari rumahnya di Doha, Qatar.
"Kami tidak menerima sebarang perjanjian melainkan untuk menamatkan kepungan (Israel)," katanya.
Kepungan itu diperketatkan pada 2007 selepas Hamas merampas kuasa daripada pasukan yang setia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tetapi sekatan itu telah dikendurkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Israel melaksanakan sekatan pada tahun 2006 selepas Hamas dan para pejuang Palestin lain menculik seorang askar Israel dalam serbuan merentasi sempadan. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz38QlPYFyH
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment