Friday 25 July 2014

25 lagi penduduk Palestin terkorban


GAZA CITY 24 Julai - Sekurang-kurangnya 25 orang lagi penduduk Palestin terbunuh termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan udara terbaharu tentera Israel awal pagi ini di Genting Gaza, sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk melancarkan siasatan ke atas serangan berterusan Israel di wilayah Palestin itu.
Kebanyakan penduduk Palestin itu yang terkorban hari ini adalah di bandar Khan Younis di tenggara Gaza.
Ambulans mengalami kesukaran untuk memasuki kawasan itu selepas berlaku pertempuran sengit antara tentera Israel dan pejuang pergerakan Hamas di situ.
Pegawai kesihatan semalam mengeluarkan data rakyat Palestin yang terbunuh kepada 695 orang, manakala lebih 4,100 lagi cedera.
Perkhidmatan Kecemasan Palestin berkata, mangsa terbaharu serangan Zionis itu termasuk sebuah keluarga terdiri daripada enam orang termasuk dua kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara di selatan Gaza.
"Enam anggota keluarga Al-Aftal termasuk kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dalam serangan itu,'' kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf Al-Qudra sebagaimana yang dilaporkan Arab News.
Menurut jurucakap Palestin, serangan tentera Israel itu turut memusnahkan sekurang-kurangnya 475 buah rumah dengan 2,644 lagi rosak sebahagiannya, manakala sebanyak 46 buah sekolah, 56 buah masjid dan tujuh hospital turut mengalami kerosakan.
Dalam pada itu, Presiden Perancis, Francois Hollande mengumumkan pakej bantuan bernilai 11 juta euro (RM47.14 juta) kepada penduduk Palestin di Gaza.
Penasihat Hollande berkata, lapan juta euro (RM 34.28 juta) itu akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin, manakala bakinya akan diagihkan kepada badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bukan kerajaan (NGO) di Gaza.
Sementara itu, Israel mempertahankan tindakan mereka menyerang kawasan awam dengan mendakwa pemimpin Hamas menyembunyikan senjata dan pejuang mereka di situ atau di terowong yang terletak di lokasi-lokasi tersebut.
Israel bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah korban di pihaknya, namun jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner mendakwa 210 pejuang Palestin terbunuh sejak Israel melancarkan serangan darat di Gaza. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140725/lu_05/25-lagi-penduduk-Palestin-terkorban#ixzz38QfWZDM8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment