Friday 25 July 2014

50 bekas askar Israel enggan sertai tentera simpanan


WASHINGTON 24 Julai - Lebih 50 bekas askar Israel enggan berkhidmat dalam pasukan tentera simpanan ekoran kesal dengan peranan mereka ketika bertugas dalam pasukan keselamatan rejim Zionis itu yang menindas penduduk Palestin.
Akhbar Washington Post semalam melaporkan askar-askar berkenaan berkata, mereka mendapati tentera rejim Zionis itu menguasai kehidupan Palestin.
"Atas alasan itu, kami kini enggan melaksanakan tanggungjawab sebagai askar simpanan dan kami juga menyokong mereka yang enggan berbuat demikian,'' kata askar-askar berkenaan dalam petisyen yang disiarkan di atas talian.
Pada awal bulan ini, Israel berkata, pihaknya akan mengerahkan lebih banyak tentera simpanan bagi meningkatkan serangan.
Askar-askar itu berkata, kebanyakan daripada mereka bertugas dalam bahagian sokongan logistik dan birokratik di Tebing Barat sebelum ini mendapati tentera Israel membantu melaksanakan penindasan ke atas Palestin.
Kenyataan askar-askar berkenaan dikeluarkan ketika konflik di Gaza semakin buruk yang menyaksikan lebih 600 penduduk Palestin terbunuh dan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal.
Dalam petisyen itu, askar-askar itu menyatakan bahawa pasukan tentera memainkan peranan penting dalam melaksanakan setiap pelan tindakan dan cadangan yang dibincangkan pada rundingan nasional, yang menjelaskan mengapa tiada penyelesaian kepada tindakan bukan ketenteraan dalam konflik berkenaan, telah mengheret Israel dengan jiran-jirannya.
``Bagi kami, operasi ketenteraan ketika ini, dan kesan daripada tindakan ketenteraan tidak boleh dipisahkan,'' kata askar berkenaan.
Setiap rakyat Israel yang berumur 18 tahun perlu berkhidmat dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sehingga tiga tahun namun mereka yang kelahiran Arab dikecualikan daripada berbuat demikian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140725/lu_07/50-bekas-askar-Israel-enggan-sertai-tentera-simpanan#ixzz38Qg7UmMS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment