Wednesday 9 July 2014

Israel lancar serangan di Gaza


REUTERS
SATU letupan kelihatan selepas Israel melancarkan serangan di Genting Gaza semalam.


BANDAR GAZA - Israel melakukan serangan besar-besaran di Genting Gaza awal pagi semalam sebagai tindak balas berhubung peningkatan serangan roket yang dilancarkan oleh para pejuang Palestin.
Jurucakap tentera Israel, Peter Lerner berkata, Tentera Udara Israel mengebom kira-kira 50 sasaran dalam tempoh semalaman.
Beliau turut memberi amaran bahawa Israel mungkin akan meningkatkan lagi 'kualiti dan kuantiti' sasaran serangan.
"Serangan udara itu akan dipertingkatkan bersama misi di darat jika diperlukan," katanya.
Beliau menyatakan, lebih banyak anggota-anggota simpanan kini dikerah berada dalam keadaan bersiap sedia.
Kempen serangan itu dikenali sebagai Perlindungan Sempadan selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat dengan tujuh ahli Kabinet keselamatan malam kelmarin.
Mesyuarat itu diadakan selepas hampir 80 serangan roket telah menghujani Israel yang merupakan serangan paling hebat sejak ketegangan tercetus ekoran penculikan dan pembunuhan tiga remaja Israel pada 12 Jun lalu.
Dalam kejadian tersebut, enam pejuang pergerakan Hamas yang menguasai Gaza terbunuh dalam terowong yang runtuh akibat serangan udara Israel.
Dalam pada itu, Israel turut melancarkan serangan dengan memusnahkan empat buah rumah pejuang Hamas.
Menurut beberapa saksi, dua buah rumah yang diserang itu terletak di Rafah dan Khan Younis.

REUTERS
GAMBAR menunjukkan sebuah rumah musnah akibat serangan udara di Khan Younis di Genting Gaza semalam.


Agensi berita Safa yang berpejabat di Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin cedera dalam serangan udara itu termasuk sembilan yang dihantar ke hospital selepas rumah mereka musnah akibat dibom.
Regim Zionis menganggap sebuah daripada empat rumah yang dibom itu adalah milik pemimpin pejuang Palestin.
Beberapa penduduk berkata, mereka menerima panggilan telefon daripada seseorang yang bercakap dalam bahasa Arab pasar supaya meninggalkan rumah dalam masa lima minit sebelum serangan berlaku.
Saksi berkata, berbelas-belas peluru berpandu Israel dilancarkan ke kawasan yang disyaki menempatkan senjata-senjata Palestin yang akan digunakan untuk melancarkan serangan roket ke negara Yahudi itu.
Letupan kedengaran di seluruh Semenanjung Gaza, kata beberapa penduduk yang tinggal di kawasan pantai.
Israel pada masa sama bersiap sedia untuk menghadapi tindak balas daripada kumpulan bersenjata Gaza.
Sekolah, tadika dan kem musim panas yang terletak dalam lingkungan 40 kilometer dari Genting Gaza turut diarahkan tutup, anggota-anggota polis juga tidak membenarkan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan melebihi 300 orang diadakan di kawasan tersebut.
Kumpulan-kumpulan bersenjata yang kecil di Gaza seperti Jihad Islam, Jawatankuasa penentangan Popular dan Barisan Demokratik Untuk Pembebasan Palestin menjadi dalang serangan roket ke arah Israel. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0709&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz36vESK03S 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment