GAZA CITY 8 Julai - Tentera Israel terus mencemarkan kesucian bulan Ramadan apabila melancarkan serangan roket bertubi-tubi ke Gaza awal hari ini, mengakibatkan 12 penduduk Palestin maut sementara 80 yang lain cedera.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut mengerahkan 40,000 tenteranya bersiap sedia melancarkan serangan darat ke Gaza dalam operasi digelar Operasi Perlindungan Sempadan.
Serangan melibatkan bedilan 90 roket itu disifatkan yang terburuk sejak November 2012 ketika Israel berdepan dengan tunjuk perasaan rakyat Palestin berhubung kematian seorang remaja tempatan oleh pelampau Yahudi.
Kumpulan pejuang Hamas menyatakan, enam anggota Briged Ezzedine al-Qassam maut dalam beberapa siri serangan itu, namun dinafikan Israel.
Pasukan perubatan melaporkan, seramai 80 orang cedera termasuk kanak-kanak dan orang wanita.
Menurut sumber keselamatan Palestin, tentera Israel melancarkan lebih 70 serangan dan saksi memaklumkan, beberapa rumah menjadi sasaran mereka di Khan Younis.
Selain itu, turut menjadi sasaran adalah kedudukan anggota pejuang Palestin di sekitar Gaza.
Briged Ezzedine al-Qassam dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya tentera Israel tidak menghentikan operasi mereka, kumpulan itu tidak akan teragak-agak me-
lancarkan serangan balas dengan memperluaskan radius sasaran terhadap Israel.
Serangan udara tentera Israel itu dilancarkan selepas beberapa media semalam mengeluarkan gambar menunjukkan kedudukan tentera rejim itu bersama berpuluh-puluh unit kereta kebal yang ditempatkan di sempadan Gaza.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam reaksinya menggesa supaya serangan tersebut dihentikan dengan segera. - AFP/REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140709/lu_01/Israel-lancar-90-roket-ke-Gaza#ixzz36v2faOBx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment