GENTING GAZA - PALESTIN. Rejim Zionis melancarkan lebih 50 serangan udara di Gaza, awal pagi semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan peperangan mungkin akan meletus semula di wilayah itu.

Petugas perubatan di Genting Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 17 orang termasuk wanita dan kanak-kanak cedera akibat gelombang keganasan terbaharu yang dilancarkan Israel sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, tentera rejim Zionis dengan angkuh menyatakan mereka telah memulakan kempen operasi perlindungan yang kononnya bertujuan untuk mengurangkan bedilan roket di selatan Israel.

"Kira-kira 50 sasaran termasuk empat markas militan dan tapak pelancaran roket telah dimusnahkan. Objektif utama operasi ini adalah untuk melemahkan gerakan Hamas," kata jurucakap Israel.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan Palestin mendakwa lebih 70 kawasan di sekitar Gaza terutamanya di bandar Khan Yunis musnah akibat serangan tersebut.

Susulan daripada insiden itu, kumpulan sayap bersenjata Hamas, Briged Izzudin al-Qassam bertindak mengeluarkan amaran keras terhadap Israel.

"Jika rejim Zionis tidak menghentikan tindakan provokasi ini, kami tidak akan teragak-agak untuk melancarkan serangan balas yang lebih dahsyat ke atas mereka," tegas kumpulan terbabit.

Kelmarin, seramai sembilan pejuang Palestin terkorban dalam serangan yang menyasarkan beberapa kawasan di Genting Gaza, sekali gus ia mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak insiden Perang Lapan Hari pada 2012.

Dalam perkembangan lain, tiga daripada enam suspek mengaku membakar dan membunuh remaja Palestin yang diculik dalam insiden dipercayai bermotifkan dendam pada 2 Julai lalu.

Kesemua pelampau Yahudi tersebut diberkas, Ahad lalu selepas perbuatan tidak berperikemanusiaan itu mencetuskan protes besar-besaran di beberapa kawasan termasuk di Baitulmaqdis sejak minggu lalu menurut laporan AFP.