Rumah penduduk Palestin diroboh Tentera rejim Zionis memusnahkan apartmen milik Maher di bandar Hebron, semalam.
TEBING BARAT - PALESTIN. Tentera rejim Zionis, semalam memusnahkan rumah penduduk Palestin di Hebron yang didakwa menyerang dan menikam seorang penduduk Israel hingga mati pada tahun lalu.
Saksi mendakwa 'hukuman' yang dikenakan ke atas Maher al-Hashlamoun itu turut mencetuskan protes antara puluhan pembaling batu dan tentera rejim Zionis, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Anggota gerakan Jihad Islam itu turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tentera selepas disabit bersalah membunuh Dalia Lemkus, Jun lalu.
Minggu lalu, Tel Aviv mengarahkan hukuman punitif dipertingkatkan di bawah dasar kontroversi terbaharu yang diluluskan Knesset kononnya sebagai respons terhadap gelombang keganasan yang meningkat sejak akhir-akhir ini.
Awal bulan lalu, 'hukuman' sama turut dikenakan ke atas rumah dua penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang didakwa terlibat dalam insiden serangan pada tahun lalu.
Dalam insiden berasingan, pihak berkuasa Israel dilaporkan telah menahan pemimpin kanan Hamas, Hassan Yousef dalam satu serbuan di kediamannya di bandar Beitunia di barat daya Ramallah.
Difahamkan, Hassan, 60, diberkas semula selepas dibebaskan daripada penahanan pentadbiran pada Jun lalu.
Kira-kira 35 penduduk Palestin turut ditahan dalam serbuan ke atas beberapa buah rumah di Tebing Barat, lapor AFP.
No comments:
Post a Comment