Wednesday 21 October 2015

Israel cuba rampas Masjid al-Aqsa


AZRUL HAKIMIE ANUER  |  21 Oktober 2015 1:12 AM


GERAKAN Intifada Ketiga yang bermula awal bulan ini di wilayah Palestin yang dijajah iaitu Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, merupakan tindak balas penduduk Palestin terhadap kekejaman berterusan tentera rejim Zionis Israel membunuh rakyat Palestin tanpa mengira umur dan jantina.
Tentera Israel bukan sahaja membunuh rakyat Palestin sewenang-wenangnya, malah turut membakar dan memusnahkan kediaman penduduk termasuk ladang tanaman zaitun seperti yang berlaku di Salfit, barat Baitulmaqdis.
Semua kekejaman tersebut dilakukan semata-mata mahu merampas rumah ibadat ketiga paling suci bagi umat Islam iaitu Masjid al-Aqsa, selain mahu memperluaskan kuasa mereka di wilayah Palestin.
Sikap agresif Israel kali ini dilihat sangat luar biasa dan kejam, apabila bertindak menggunakan pelbagai cara untuk memiliki Masjid al-Aqsa, termasuk memberi kuasa penuh kepada polis untuk memeriksa penduduk Palestin secara fizikal, walaupun Parlimen negara itu belum meluluskan rang undang-undang tersebut.
Rejim Zionis turut memperketatkan kawalan di Masjid al-Aqsa bagi menghalang penduduk Palestin beribadat di masjid itu dengan hanya membenarkan penduduk lelaki Islam berumur 50 tahun ke atas dan wanita memasuki masjid tersebut, selain memperba­nyakkan pos kawalan di pintu-pintu masuk ke Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.
Selain itu, tentera rejim dilaporkan turut mengganggu kanak-kanak Pa­lestin yang mahu ke sekolah serta nelayan di kawasan pantai berhampiran Gaza.
Sehingga hari ini bilangan penduduk Palestin yang terkorban akibat kekejaman rejim Zionis sudah mencecah 45 orang, dengan 10 orang daripada mangsa merupakan kanak-kanak termasuk bayi berusia 16 bulan dan dua wanita.
Seramai 31 orang penduduk Palestin dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, manakala 14 lagi ditembak di Genting Gaza termasuk seorang ibu bersama bayinya.
Sementara itu, seramai 1,850 orang penduduk Palestin yang lain cedera akibat ditembak oleh tentera Israel, sama ada dengan menggunakan peluru hidup ataupun peluru getah, dengan 3,500 orang lagi mengalami masalah kesihatan akibat terhidu gas pemedih mata.
Pusat Kajian Tahanan Palestin (PCPS) melaporkan, sejak bermulanya gerakan intifada, pasukan keselamatan rejim Zionis telah memenjarakan seramai 280 orang kanak-kanak Palestin, dan semasa di dalam penjara mereka dihina, didera, dipukul serta diancam bunuh bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka supaya tidak menyertai gerakan intifada.
“Daripada 600 orang yang ditahan tentera Israel, 35 peratus daripada mereka merupakan kanak-kanak. Jumlah kanak-ka­nak yang ditahan meningkat mendadak sejak gerakan intifada tiga bermula awal bulan ini,” kata jurucakap PCPS, Riad al-Ashqar.
Insiden keganasan Israel kali ini lebih dahsyat dan meluas, bukan sahaja di Tebing Barat tetapi juga di Genting Gaza dan tidak banyak mendapat liputan sehingga kekejaman Israel di bumi Palestin tidak diketahui masyarakat dunia.
Gerakan Intifada Ketiga selepas intifada pertama dan ke­dua yang berlaku pada 1987 dan 2000, jika tidak ditangani segera dibimbangi akan menyebabkan banyak kematian, justeru organisasi utama dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa untuk memainkan peranan mereka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-cuba-rampas-masjid-al-aqsa-1.148818#sthash.GiSMmBBQ.dpuf

No comments:

Post a Comment