21 Oktober 2015 1:11 AM
RAMALLAH 20 Okt. – Pasukan keselamatan Israel menahan seorang pemimpin kanan pergerakan Hamas di Tebing Barat dalam satu serbuan di bandar ini, lewat malam tadi.
Menurut kenyataan tentera rejim Zionis, pemimpin Hamas tersebut dinamakan sebagai Hassan Yusef dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Beitunia, barat laut Ramallah.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak menyatakan sebab Hassan ditahan dalam serbuan itu.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik tindakan rejim Israel menahan rakyat Palestin sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi ketika keganasan masih berlanjutan di Tebing Barat dan Gaza.
Semalam, lapan aktivis ditahan kerana menyertai bantahan di Umm Al-Fahm pada minggu lalu, dan dalam tempoh seminggu sahaja, polis rejim Zionis telah menahan lebih 100 penunjuk perasaan dan aktivis yang mengadakan bantahan di wilayah Palestin.
Pengarah pertubuhan belia Baladna, Nadim Nashif berkata, Israel telah melancarkan gerakan menangkap penunjuk perasaan dalam kalangan rakyat Palestin bagi mengekang kebangkitan.
“Seperti intifada kedua, Israel mahu rakyat Palestin berasa takut, mendiamkan diri dan tidak terlibat dalam bantahan.
“Tetapi penglibatan rakyat Palestin sangat meluas dan kebangkitan tercetus di setiap tempat,” katanya sambil menambah bantahan diadakan di Nazareth, Haifa, Acre, Sakhnin, Tamra, dan Arrabeh selain di kawasan penduduk Palestin di Israel sejak awal bulan ini.
Sementara itu, askar Israel memusnahkan sebuah rumah penduduk Palestin yang dipenjarakan kerana membunuh seorang pendatang Yahudi pada tahun lalu.
Saksi kejadian berkata, tindakan rejim Zionis merobohkan rumah milik Maher al-Hashlamoun di Hebron, mencetuskan kemarahan penduduk Palestin yang melontar batu dan bertempur dengan askar Israel.
Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-tahan-pemimpin-hamas-1.148810#sthash.8CBolNLy.dpuf
No comments:
Post a Comment