Tentera Israel tanpa rasa bersalah menggunakan senjata api untuk menembak penduduk Palestin semasa satu pertempuran di Baitulaham, Tebing Barat, kelmarin. AFP
BAITULMAQDIS 13 Okt. – Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) memberi amaran bahawa penggunaan peluru hidup oleh tentera Israel mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi, sekali gus melanggar piawaian antarabangsa dalam pelaksanaan undang-undang.
Berdasarkan undang-undang antarabangsa, pasukan keselamatan mempunyai had tertentu untuk menggunakan senjata sama ada dalam konteks operasi pelaksanaan undang-undang atau konflik, lebih-lebih lagi di kawasan awam yang dikuasai oleh tentera.
Portal Palestinian Information Center yang memetik kenyataan URNWA melaporkan, agensi PBB itu menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan yang semakin merebak dan peningkatan angka kematian dalam kalangan orang awam di wilayah Palestin, terutamanya di Baitulmaqdis Timur.
Jelas agensi tersebut, hanya penyelesaian politik dapat mengekang situasi menjadi lebih buruk yang boleh menjejaskan kehidupan penduduk Palestin dan Israel.
“Kami mengutuk pembunuhan dan kecederaan yang dialami oleh pelarian Palestin terutamanya kes tragik pada 5 Oktober lalu apabila remaja berusia 13 tahun, Abd El Rahman ditembak mati oleh tentera Israel di kem pelarian Aida.
“Jika ada dakwaan tentang pelanggaran undang-undang antarabangsa, siasatan mesti dilakukan dengan adil bagi mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” tambah laporan itu.
Sementara itu, Pengarah Pusat Hal Ehwal Demokrasi dan Hak Asasi Manusia Geneva, Anwar al-Gharbi menggesa sebuah pasukan pemantau antarabangsa dikerah untuk melindungi penduduk Palestin di Tebing Barat daripada menjadi mangsa keganasan Israel.
Anwar berkata, rejim Zionis terus mencabul undang-undang antarabangsa dan mencabar dunia apabila mengabaikan resolusi yang dikuatkuasakan di Baitulmaqdis.
Malah, beliau mengecam masyarakat dunia yang masih membisu terhadap penindasan dan jenayah yang dilakukan Israel di wilayah Palestin tersebut sehingga menyebabkan ramai orang terbunuh dan cedera.
“Kami mempunyai bukti yang menunjukkan jenayah Israel terhadap penduduk awam Palestin termasuk kes pembunuhan, operasi menembak hendap, dan beberapa jenayah lain yang memerlukan siasatan bagi membuktikan penglibatan askar rejim Zionis,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment