Wednesday 14 October 2015

Korban terus meningkat


27 terbunuh akibat kekejaman rejim Zionis
14 Oktober 2015 12:38 AM



RAMALLAH 13 Okt. - Angka korban penduduk awam Palestin akibat keganasan Israel meningkat kepada 27 orang selepas Intifada Baitulmaqdis memasuki hari ke-12 dan sekurang-kurangnya 1,400 orang lagi dilaporkan cedera.
Tiga rakyat Palestin termasuk dua remaja merupakan mangsa terbaharu kekejaman askar rejim Zionis yang melakukan serangan di Baitulmaqdis, semalam.
Remaja berkenaan dikenali sebagai Hasan al-Manasra, 14, ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel selepas mangsa tidak mendapat rawatan sewajarnya apabila terkena tembakan.
Selain itu, seorang lagi remaja, Mustafa Aadel al-Khatib, 18, dibunuh dengan kejam apabila askar Israel melepaskan lebih 10 tembakan ke arah mangsa di selatan Baitulmaqdis selepas dia keluar daripada kereta untuk sesi pemeriksaan.
Menurut laporan portal Palestinian Information Center, seramai 16 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat dan 11 lagi di wilayah Genting Gaza.
Menteri Kesihatan Palestin, Jawad Awad berkata, satu pertiga mangsa yang terbunuh sejak awal Oktober lalu merupakan kanak-kanak iaitu lapan yang ditembak mati oleh askar Israel dan seorang bayi yang maut dalam kandungan apabila ibunya dan seorang anak perempuannya maut dalam serangan bom di Gaza.
Jawad turut mengecam keganasan terancang Israel terhadap kanak-kanak Palestin apabila dengan sengaja mensasarkan tembakan di bahagian atas badan mangsa.
Semalam, 25 penduduk Pa­lestin cedera akibat kekejaman tentera Israel yang menggunakan peluru hidup untuk bertempur dengan penunjuk perasaan di Tebing Barat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/korban-terus-meningkat-1.146240#sthash.OFNVqPrg.dpuf

No comments:

Post a Comment