SEORANG buruh bekerja membina semula rumah yang musnah akibat serangan Israel tahun lalu di Gaza City, kelmarin. AFP
GAZA CITY 23 Julai - Kerja-kerja pembinaan semula rumah penduduk Palestin yang musnah akibat serangan 50 hari rejim Zionis bermula semalam, selepas lebih setahun peperangan yang mengorbankan banyak nyawa itu berlaku.
Kementerian Perumahan dan Kerja Awam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mula melaksanakan kerja-kerja pembinaan semula rumah yang musnah di Genting Gaza.
Jelas kementerian itu, kawasan yang akan dibangunkan terlebih dahulu adalah Shejaiyah, Gaza City, dengan pembinaan 1,000 rumah pertama merupakan hasil dana sumbangan kerajaan Qatar.
Dianggarkan 18,000 buah rumah musnah sepanjang 50 hari serangan kejam rejim Zionis di Gaza pada tahun lalu, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, lebih 110,000 orang penduduk hilang tempat tinggal.
Proses pembinaan semula kediaman yang musnah berjalan agak perlahan susulan kelewatan penyerahan dana daripada penderma antarabangsa, selain berlaku pergolakan dalam kepemimpinan kerajaan gabungan Fatah dan Hamas.
Laman web News24 melaporkan, proses pembinaan rumah berkenaan melibatkan kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerja Awam, PBB dan negara-negara penderma seperti Qatar, Arab Saudi, Mesir, dan Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerja Awam, Mufid Hasayna berkata, kerja-kerja pembinaan yang telah dijanjikan tidak akan terhenti sehingga semuanya selesai, selain mendakwa kerajaan gabungan Fatah dan Hamas sudah mencapai kata sepakat untuk berdamai.
“Hari-hari mendatang akan menjadi saksi kepada perubahan dalam proses pembinaan semua rumah-rumah penduduk Palestin yang musnah,” ujar Mufid.
Dalam persidangan penderma yang berlangsung di Kaherah pada Oktober tahun lalu, komuniti antarabangsa menganggarkan pembinaan semula Gaza bakal melibatkan kos berjumlah AS$5.4 bilion (RM20.48 bilion), namun kebanyakan penderma sehingga kini masih gagal menyalurkan dana yang diperlukan.
No comments:
Post a Comment