Siasatan tentera Israel tidak telus?
PENUTUPAN siasatan terhadap tujuh dakwaan salah laku dilakukan tentera rejim Zionis ketika Operasi Perlindungan Sempadan yang dilancarkan ke atas Genting Gaza telah mencetuskan persoalan tentang ketelusan prosedur tersebut.

Awal minggu lalu, rejim Zionis mengumumkan mereka kini menjalankan siasatan terhadap lapan kes baharu melibatkan salah laku tentera mereka.

Menurut Al-Jazeera, pada masa yang sama, Israel turut menutup tujuh kes sama berhubung serangan ke atas hospital, infrastruktur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kakitangan perubatan dan orang awam.

Mejar Jeneral, Danny Efroni yang bertanggungjawab melakukan siasatan itu berkata mereka mendapati tindakan ketenteraan rejim Zionis ketika perang selama 50 hari itu kononnya mempunyai alasan yang kuat dan munasabah.    

Susulan daripada itu, penyelidik kanan di Pemerhati Hak Asasi Manusia, Bill van Esveld bertindak mengkritik prosedur siasatan tersebut.

"Tentera Israel mempunyai rekod akauntabiliti yang lemah. Mekanisme penilaian pencarian fakta mereka mungkin tidak telus kerana hanya mendapatkan bukti dari sebelah pihak dan kebanyakan keterangan juga bercanggah serta mengelirukan," jelasnya.


Sengaja buat helah


Sementara itu, penyelidik di Amnesty International, Saleh Hijazi menyifatkan operasi itu adalah yang paling agresif berbanding Perang Gaza 2008 dan Operasi Tiang Pertahanan pada 2012.

"Tindakan ketenteraan itu dibuat secara melulu dan mereka berterusan melancarkan serangan bertubi-tubi ke kawasan penempatan penduduk Palestin hingga mengorbankan lebih 2,100 nyawa," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak menggesa penglibatan penyiasat bebas untuk membongkar kekejaman Israel, sekali gus mengheret mereka ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, Tel Aviv telah beberapa kali menolak cadangan itu dan turut menghalang akses Pelapor Khas PBB, Makarim Wibisono dan Suruhanjaya Siasatan Gaza ke wilayah terbabit.

Menurut Hijazi lagi, Israel sengaja membuat pelbagai helah untuk menghalang penyiasat mencari bukti bahawa mereka telah melakukan jenayah perang ketika operasi tersebut.


Tentera rejim Zionis terlepas hukuman

Siasatan terhadap pelanggaran hak di Tebing Barat termasuk pembunuhan orang awam juga sering berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian.
Jurucakap dan penyiasat kumpulan hak asasi manusia, B'Tselem, Sarit Michaeli mendedahkan kebanyakan kes pembunuhan penduduk Palestin di Tebing Barat diletakkan di bawah siasatan tentera rejim Zionis dan tidak pernah diselesaikan.

Pada 2011, Israel telah mengubah dasar mereka yang dilihat sebagai usaha untuk mengaburi mata masyarakat dunia dan ia tidak langsung memberi kesan kepada akauntabiliti rejim Zionis.

"Mereka membuka kes tetapi ia jarang diselesaikan mengikut prosedur yang betul. Apabila sesuatu keputusan dibuat, pesalah biasanya tidak dikenakan sebarang dakwaan," jelasnya.

Menurut laporan B'Tselem, lebih 30 kes berkaitan kematian penduduk Palestin diletakkan di bawah siasatan tentera antara 2011 dan 2014, namun hanya enam kes telah ditutup manakala individu bertanggungjawab terlepas daripada hukuman.

Kumpulan itu juga mendapati kebanyakan salah laku tentera Israel tidak disedari atau tidak dilaporkan akibat kekurangan akses untuk penduduk Palestin membuat aduan ke balai polis berhampiran kawasan kejiranan mereka.

Sementara itu, pengasas Pusat Hak Asasi Manusia Palestin di Genting Gaza, Raji Sourani berpendapat 'sistem' yang diamalkan oleh Israel telah memberi kekebalan penuh kepada mereka daripada dakwaan melakukan jenayah perang.

"Kami merekodkan banyak bukti jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan rejim Zionis ketika Operasi Perlindungan Sempadan, baru-baru ini. Namun, mereka mungkin terlepas daripada sebarang dakwaan kerana dilindungi sekutu kuatnya, Amerika Syarikat.

"Kekejaman Israel akan terus bermaharajalela manakala penduduk Palestin kekal ditindas tanpa sebarang pembelaan sewajarnya," katanya lagi. - Al-Jazeera