Gambar bertarikh 4 Disember lalu, memaparkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengadakan pertemuan bersama pemimpin parti pembangkang Ireland, Parti Sinn Fein, Gerry Adams di Ramallah. – AGENSI
DUBLIN 11 Dis. – Ahli Parlimen Ireland meluluskan satu usul simbolik bagi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara semalam, sekaligus menjadikan Ireland negara keempat di Eropah berbuat demikian sejak bulan Oktober lalu.
Usul simbolik tidak terikat dengan Perlembagaan itu dipersetujui Ahli Parlimen di Dublin dengan mereka menggesa kerajaan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berasaskan kepada Perjanjian Sempadan 1976 yang termaktub dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tindakan tersebut diambil bagi mencari jalan penyelesaian positif berhubung konflik berdarah di antara Israel dan Palestin.
Sebelum ini Parlimen Perancis, Sweden dan Sepanyol meluluskan usul simbolik mengiktiraf Palestin susulan kecewa dengan proses perbincangan yang berjalan dengan sangat perlahan bagi menamatkan konflik di Asia Barat itu.
Menteri Luar Ireland, Charlie Flanagan berkata, kerajaan tidak akan terikat dengan usul tersebut namun secara ‘prinsipnya’ menyokong pengiktirafan sebuah negara berdaulat Palestin.
“Kami sering menyokong usaha mencari jalan penyelesaian di antara kedua-dua belah pihak terbabit dan kami akan terus menyokong dalam apa cara sekali pun.
“Ada yang menyatakan, pengiktirafan membolehkan proses rundingan berjalan semula. Mungkin itu yang difikirkan oleh Sweden dan anggota Parlimen Ireland ketika ini,” jelas Flanagan dalam sidang Parlimen.
Usul berkenaan telah dicadangkan oleh parti pembangkang, Parti Sinn Fein sebelum dipersetujui oleh semua anggota Parlimen Ireland tanpa perlu menjalankan proses undian. – AFP
No comments:
Post a Comment