Bekalan simen yang dibawa masuk melalui laluan Kerem Shalom didakwa tidak mencukupi untuk membina puluhan ribu rumah penduduk Gaza.
Bekalan simen yang dibawa masuk melalui laluan Kerem Shalom didakwa tidak mencukupi untuk membina puluhan ribu rumah penduduk Gaza.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menubuhkan badan bebas untuk melakukan siasatan terhadap kesan peperangan selama 50 hari di Genting Gaza yang tercetus pada 8 Julai lalu.

Jawatankuasa lima anggota yang diketuai mejar jeneral bersara dari Jerman, Patrick Cammaert itu akan menyiasat kematian, jumlah mangsa cedera dan nilai kemusnahan sekolah Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) yang turut beberapa kali menjadi sasaran bedilan Israel.

"Panel tersebut juga akan mengkaji dakwaan Israel yang menuduh gerakan Hamas telah menggunakan pusat perlindungan agensi tersebut sebagai tempat untuk menyimpan bekalan senjata mereka," kata timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq.

Dalam perkembangan lain, kebanyakan penduduk Palestin dilaporkan terus hidup menderita selepas kediaman mereka musnah akibat dibedil rejim Zionis.

Menteri Perumahan dan Kerja Awam, Mufeed al-Hasayna memberitahu proses penghantaran bahan pembinaan tergendala kerana penutupan laluan sempadan di Genting Gaza.

"Sebanyak 42,000 kediaman perlu dibina semula di wilayah ini, namun kami hanya mempunyai bahan yang cukup untuk membina 900 rumah," katanya lagi meurut laporan Press TV.