Seorang wanita Palestin mendukung anaknya ketika berjalan di kawasan perumahan yang musnah dalam serangan Israel di Gaza City, baru-baru ini. – Reuters
GENEVA 11 Nov. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam melantik satu panel untuk menyiasat serangan Israel ke atas rumah perlindungan badan dunia itu ketika perang di Gaza pada Julai lalu dan penemuan senjata Hamas di lokasi milik PBB.
Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, panel yang terdiri daripada lima orang dan diketuai seorang jeneral bersara, Patrick Cammaert akan ‘menilai dan menyiasat sejumlah kejadian yang melibatkan kematian atau kecederaan di premis PBB’.
“Panel itu akan memberi fokus kepada kejadian yang berlaku antara 8 Julai dan 26 Ogos lalu,’’ katanya.
Beliau berkata, selain itu panel tersebut turut dianggotai pakar perundangan, Maria Vicien-Milburn yang merupakan Konsul Jeneral UNESCO; Lee O’Brien yang bertugas di Hal Ehwal Asia Barat, Jabatan Hal Ehwal Politik PBB; Pierre Lemelin dari Kanada dan K.C. Reddy dari India.
“Ki-moon melahirkan harapan panel tersebut akan menerima kerjasama penuh daripada semua pihak terbabit,’’ kata Farhan.
Ki-moon mengumumkan rancangan melakukan siasatan ke atas serangan Israel ke atas sekolah-sekolah milik PBB ketika melawat Gaza pada bulan lepas dan menyifatkan serangan itu sebagai ‘melampau’.
Israel mendakwa pergerakan Hamas menggunakan sekolah itu sebagai tempat simpanan senjata dan menafikan pihaknya sengaja menyasarkan kemudahan tersebut yang digunakan sebagai tempat perlindungan orang awam Palestin dalam perang selama 50 hari.
Sekurang-kurangnya lima kemudahan PBB diserang dalam konflik tersebut yang menyaksikan sejumlah besar penduduk Palestin termasuk kanak-kanak, maut. – AFP
No comments:
Post a Comment