Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membawa pendengar IKIMfm menilai erti kemerdekaan dalam Ibrah
Ibrah siri ke-20 membuka lembaran baru kisah Nabi Musa dan kaum baginda, Bani Israel. Sempena negara menyambut kemerdekaan, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membawa pendengar merenung erti kemerdekaan yang sebenar.
Beliau mengambil contoh kisah Nabi Musa memerangi 'penjajahan' iaitu kaumnya sendiri, Bani Israel. Beliau memulakan dengan bagaimana Nabi Musa yang pernah tinggal di istana sebagai anak angkat Firaun akhirnya melarikan diri bersama Bani Israel meninggalkan tanah tumpah darahnya, Mesir ke Madyan.
Beliau juga membawa contoh bagaimana Rasulullah SAW yang begitu selesa tinggal di Makkah bersama bapa dan datuknya, bahkan pernah ditawarkan untuk menjadi memimpin Makkah juga meninggalkan tanah tumpah darah Baginda.
Allah SWT memerintahkan Nabi Musa membawa keluar Bani Israel dari Mesir menuju ke Palestin dengan melalui laluan selatan Semenanjung Sinai. Di sinilah Allah SWT telah menunjukkan kepada Nabi Musa dan Bani Israel bagaimana dihancurkan Firaun dan tenteranya di Laut Merah.
Selepas Nabi Musa dan Bani Israel menyeberangi Laut Merah, Allah SWT mewahyukan Nabi Musa untuk tidak menuju ke Palestin tetapi ke satu lokasi yang paling hampir dengan tempat mereka diselamatkan daripada Firaun.
Sebelum ini, Firaun sudah lama menyeksa dan membunuh anak-anak Bani Israel di Mesir. Allah SWT telah memberi peluang kepada Bani Israel menyaksikan sendiri 12 mukjizat yang Allah SWT berikan kepada Nabi Musa termasuklah mukjizat terakhir iaitu tongkat Nabi Musa membelah lautan yang menyelamatkan mereka daripada Firaun buat selamanya.
Permulaan kisah Yahudi, Zionis
Sudah pastilah mereka akan sujud dan mensyukuri nikmat keselamatan yang Allah SWT berikan namun, sebaliknya diceritakan dalam al-Quran mengenai Bani Israel dan ini adalah permulaan kisah Yahudi dan Zionis yang kita kenali pada masa kini.
Beban berat perlu ditanggung oleh Nabi Musa untuk mengubah sikap, sekali gus memerangi jiwa penyakit jahiliah yang telah merosakkan satu bangsa yang pada asalnya dimuliakan Allah SWT.
Perjalanan merentasi Gurun Sinai menuju ke lokasi yang hendak dibawa oleh Nabi Musa mengambil masa selama dua hari. Semasa dalam perjalanan itu mereka berjumpa dengan satu kaum yang sedang menyembah berhala, lalu Bani Israel meminta dibuat berhala.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang laut (Merah) itu, lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang tunduk dan patuh menyembah berhala mereka. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata kepada Musa: Wahai Musa, buatlah untuk kami satu tuhan berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan. Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil." (Surah al-A'raaf, ayat 138)
Belum pun 48 jam Bani Israel menyaksikan Firaun dan tenteranya ditenggelami Laut Merah, mereka sedikitpun tidak merasa bersalah sebaliknya meminta Nabi Musa untuk membina berhala untuk mereka.
Menurut ulama, Sheikh Rusydi al-Badrawy dalam kitabnya Musa wa Harun, kenyataan Bani Israel ini menunjukkan mereka berada di bawah pengaruh kepercayaan pagan, iaitu kepercayaan terhadap penyembahan berhala.
Bani Israel sebelum ini terlalu lama dijajah oleh Firaun dan ia telah memberi kesan bukan sahaja kepada cara hidup bahkan keimanan mereka sehinggakan menyembah berhala dianggap tidak menyalahi syariat Islam. Bani Israel tidak beriman kepada Allah SWT dengan sepenuh hati mereka.
Cadangan bina berhala naikkan kemarahan Nabi Musa
Nabi Musa telah memerangi sifat jahiliah yang ada dalam jiwa Bani Israel sebelum ini dan akhirnya menyelamatkan mereka daripada Firaun tetapi cadangan mereka untuk membina berhala menaikkan kemarahan Nabi Musa.
Seperti diceritakan dalam al-Quran, "Nabi Musa berkata lagi: Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang seazam dengan kamu, dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu?)" (Surah al-A'raaf, ayat 140)
Tidak cukup kata-kata Nabi Musa menunjukkan kemarahan terhadap sikap Bani Israel ini, Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: "Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab dan seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya." (Surah al-A'raaf, ayat 141)
Muhammad Syaari berkata, peristiwa ini pernah diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat dalam Peperangan Hunain. Semasa dalam perjalanan menuju Peperangan Hunain, mereka telah melalui satu pokok yang besar dan pada dahannya disangkut senjata (pedang).
Sebelum Islam, masyarakat jahiliah percaya dengan melakukan demikian mereka akan diberikan kemenangan. Segelintir sahabat telah meminta kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah buatkanlah untuk kami Dzatu Anwath (tempat menggantungkan senjata) sebagaimana mereka memiliki Dzatu Anwath."
Rasulullah SAW menegur kata-kata sahabat ini dengan bersabda: "Allahu Akbar! Itulah tradisi (orang sebelum kalian) demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya, kalian benar-benar telah mengatakan suatu perkataan seperti yang dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa: Buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan." (Riwayat Tirmizi)
Betapa sukar Nabi Musa untuk memerdekakan jiwa Bani Israel yang telah lama dijajah oleh Firaun dari terus menyembah hawa nafsu mereka. Di akhirnya, Muhammad Syaari mengajak pendengar bermuhasabah dengan kehidupan manusia pada zaman kini.
Katanya, terdapat manusia yang mencari selain daripada Allah SWT, menyembah hiburan, maksiat, kehidupan melalaikan sehingga lupa kepada Allah SWT.
Beliau berkata, apakah manusia tidak berfikir dan merenung mengapa Allah SWT memelihara jasad Firaun (Ramses II) untuk kita mengambil iktibar daripadanya.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
No comments:
Post a Comment