Sunday 17 August 2014

Misi kemanusiaan mulakan perjalanan ke Gaza


RAFAH 16 Ogos - Misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza diketuai Kelab Putra 1Malaysia memulakan perjalanan ke sempadan Rafah selepas beberapa kali terpaksa ditangguhkan ekoran masalah keselamatan dan logistik.
Diiringi anggota keselamatan Mesir di bahagian hadapan dan belakang, konvoi sukarelawan yang terdiri daripada dua bas, dua lori kontena dan dua kenderaan kenamaan bergerak menuju ke Rafah mulai pukul 7 pagi waktu tempatan.
Perjalanan sepanjang 500 kilometer dari Kaherah yang sepatutnya berlaku lebih awal iaitu pada pukul 12.30 pagi terpaksa ditangguhkan kepada pukul 7 pagi berikutan masalah logistik membabitkan pihak kastam Mesir.
Selain itu, penangguhan juga berpunca akibat kelewatan mendapat kelulusan serta jaminan keselamatan bertulis daripada pihak perisikan Mesir kerana sebelum ini badan itu hanya memberi kebenaran lisan sahaja.
Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau bersyukur kerana segala kesulitan yang timbul setakat ini akhirnya berjaya diatasi walaupun terpaksa mengambil sedikit masa.
"Segala langkah keselamatan juga telah diambil di mana sukarelawan diwajibkan memakai jaket kalis peluru, helmet balistik serta kasut keselamatan," katanya semasa majlis perlepasan sebelum diiringi bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku serta laungan azan.
Misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza yang berlepas dari tanah air sejak 12 Ogos lalu membawa bekalan perubatan sebanyak 40 tan, para doktor pakar serta 5,000 kotak makanan untuk disalurkan kepada 25,000 warga Palestin.
Yang turut serta dalam misi kemanusiaan tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari serta Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha.
Sejak bermula serangan Israel pada 8 Julai lalu, lebih 1,900 penduduk Gaza majoritinya wanita dan kanak-kanak terbunuh manakala hampir 10,000 cedera dengan kebanyakkannya parah.


Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140817/dn_03/Misi-kemanusiaan-mulakan-perjalanan-ke-Gaza#ixzz3AbEjkKkM© Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment