KAHERAH 16 Ogos - Rangka kerja perjanjian gencatan senjata jangka panjang antara Israel dan Hamas, termasuk isu sensitif, didedahkan oleh sebuah akhbar Mesir hari ini, ketika rundingan antara dua pihak bertelagah masih belum mencapai persetujuan muktamad untuk menamatkan konflik di Gaza.
Akhbar Al-Shorouk yang memetik sumber kerajaan Mesir melaporkan, terdapat kemajuan dalam rundingan yang diusahakan Kaherah dan kedua-dua pihak bersetuju untuk membincangkan usul rangka kerja perjanjian damai selepas hampir seminggu berbincang.
Jelas laporan itu, antara 11 syarat yang dikemukakan dalam draf itu, Israel akan menghentikan serangan udara, laut dan darat ke atas Gaza dan berjanji tidak akan memasuki wilayah Palestin atau mengancam penduduknya.
Hamas pula akan menghentikan serangan roket ke atas Israel dan tidak membina terowong bawah tanah di luar wilayah Gaza selain tidak akan mengancam keselamatan penduduk Yahudi.
Berkaitan isu sempadan pula, rejim Zionis akan menarik sekatan bagi memudahkan urusan keluar masuk penduduk, barangan dan bahan binaan antara Tebing Barat dan Gaza mengikut persefahaman yang dicapai Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
"Israel akan bekerjasama dengan PA untuk menguruskan wang yang disalurkan ke Gaza dan menghapuskan sekatan keselamatan di bahagian utara dan timur wilayah terbabit dengan menyerahkan tugas itu kepada pihak keselamatan Palestin bermula Januari tahun depan.
"Penduduk Gaza juga diberi kebenaran untuk menangkap ikan sejauh 11 kilometer dari kawasan pesisiran pantai berbanding 5.5 kilometer sebelum ini," tambah laporan tersebut.
Rundingan dijangka bersambung untuk membincangkan dua isu penting iaitu tuntutan Hamas untuk membina sebuah lapangan terbang di Gaza dan permintaan Israel agar aktiviti ketenteraan pergerakan Palestin itu dihentikan.
Artikel Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment