WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Ogos 2014
RAMAI yang murah hati menghulurkan derma untuk tabung kemanusiaan disediakan pihak tertentu bagi membantu penduduk Gaza di Palestin, atas niat bersedekah walaupun tidak pasti ke mana wang berkenaan akan disalurkan.
Hasil tinjauan Sinar Harian di sekitar daerah Kuantan mendapati rata-rata orang awam tidak 100 peratus percaya dengan peminta derma yang mendakwa wang itu akan disalurkan ke Gaza.
Bagi Sheikh Zarul Hafiz Jamaluddin, 24, dia sudah beberapa kali tertipu dengan sindiket mengutip derma dan sekarang lebih berhati-hati.
Menurutnya, kebanyakan pihak atau individu tidak bertanggungjawab menjadikan lokasi tumpuan seperti kedai makan dan pasar raya untuk mengutip derma.
“Sepatutnya sebelum menghulurkan derma kita perlu pertimbangkan dan membuat siasatan supaya tidak tertipu. Niat kita nak membantu penduduk di Gaza tetapi wang itu disalah guna pihak tidak bertanggungjawab yang hanya pentingkan diri sendiri.
“Pihak berkuasa harus ambil tindakan sepatutnya dan bagi yang cuba mengambil peluang atas kesusahan orang lain dinasihatkan supaya berhenti bertindak sedemikian,” katanya.
Sementara itu, Azlan Shah Mohd Ismuin, 25, berkata, identiti digunakan peminta sedekah atau derma sukar untuk dikenal pasti.
Menurutnya, perlu dipastikan peminta derma adalah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dan jika sangsi, orang ramai perlu elak memberi derma kerana ia akan menggalakkan kegiatan tidak bermoral.
“Bagaimanapun, saya bagi juga derma kepada mereka yang dilihat tidak terlalu mendesak dengan niat ikhlas untuk membantu golongan kurang bernasib baik," katanya.
Sementara itu, jurucakap kempen Pahang for Palestin (P4P), Dr Ahmad Safwan Mohammad berkata, orang ramai harus membuat penilaian bijak dan diminta tidak mudah terpedaya dengan peminta derma yang berselindung di sebalik bantuan untuk mangsa perang di Gaza.
Beliau menekankan, tabung dilancarkan di bawah kempen P4P adalah menerusi NGO masing-masing.
“Sebanyak 11 NGO menganggotai P4P antaranya ialah Angkatan Belia Islam Malaysia, Ikatan Pelajar Islam Pahang, Wadah Pencerdasan Ummah, Haluan, Pertubuhan Ikram Pahang dan beberapa lagi pertubuhan.
“Antara tabungnya pula ialah Hands for Gaza atas nama Global Peace Mission, Ramadan Emergency Relief (Aqsa Syarif), Rayuan Kecemasan Gaza (Tabung Palestin) dan Tabung Gaza Berdarah Lagi (Yayasan Amal Malaysia Pahang).
“Kutipan yang digerakkan pula banyak tertumpu di masjid atau institusi pengajian tinggi dan memang tidak ada yang dilakukan di lokasi seperti pasar malam atau tempat terbuka lain.
“Mungkin ada NGO yang menganjurkan di lokasi tumpuan tetapi orang ramai harus pastikan ia adalah di bawah NGO berdaftar,” katanya.
No comments:
Post a Comment