Sunday 24 August 2014

Lancar tabung bina semula UIG


Bukit Mertajam: “Israel menyerang universiti di Palestin dengan alasan ia dijadikan tempat melatih militan yang menjadi ancaman kepada mereka.

“Namun, ia hanya alasan untuk mereka menyerang dan memusnahkan pusat yang dapat melahirkan sumber manusia di Palestin,” kata Pegawai Hubungan Luar Universiti Islam Gaza (UIG) Dr Wesam A Al Madhoun semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak UIG melancarkan tabung khas mulai semalam bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula institusi berkenaan yang rosak teruk akibat serangan rejim Israel.

Menurutnya, pihaknya memerlukan dana RM31 juta untuk membangunkan dan menstruktur semula universiti berkenaan bagi membolehkan 20,000 penuntut di UIG menyambung semula pengajian mereka yang tergendala.


“UIG yang ditubuhkan sejak 1998 adalah universiti terkemuka di Palestin dan termasuk dalam kelompok 67 universiti terbaik dunia serta wilayah Arab yang mampu melahirkan modal insan dan sumber manusia di negara kami.




“Palestin sangat komited memperkasa pendidikan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) kerana yakin dengan cara itu saja dapat melahirkan modal insan berkualiti yang mampu membangunkan negara ditindas rejim Zionis,” katanya.

Dr Wesam yang juga bekas penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berkata, kempen mengumpul dana itu dilancarkan di seluruh dunia dan Malaysia antara negara yang menjadi tumpuan dalam merealisasikan usaha itu.

“UIG tidak memperoleh dana daripada kerajaan kami kerana situasi yang berlaku ketika ini (perang). Kami beroperasi dengan yuran pengajian pelajar selain bantuan daripada organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar, termasuk dari Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan menjelajah ke seluruh negara termasuk ke Kuala Lumpur dalam usaha menjayakan kempen berkenaan dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun MayBank Islamic 557344058202 atas nama ‘Tabung Universiti Islam Gaza’.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

No comments:

Post a Comment