Sunday, 24 August 2014

Gaza kembali berdarah


SEBUAH rumah penduduk Palestin musnah terkena bedilan jet tentera udara Israel di Gaza City, semalam. - AFP
GAZA CITY 23 Ogos - Israel meningkatkan tekanan ke atas pergerakan Hamas dengan melancarkan serangan udara ke atas lebih 20 sasaran di Gaza yang mengorbankan tujuh rakyat Palestin termasuk tiga kanak-kanak, ketika Mesir bersedia untuk mengusahakan rundingan gencatan senjata baharu.
Menurut Israel, mereka melancarkan sebanyak 35 serangan udara di Gaza, hari ini, sementara Hamas melancarkan kira-kira 30 roket dan peluru mortar ke wilayah Israel, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan di pihak Israel.
Tentera Israel turut menghantar khidmat pesanan ringkas, pesanan suara dan risalah memberi amaran kepada penduduk Palestin supaya tidak mendekati anggota Hamas dan anggota Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas dan rumah yang dipercayai dijadikan aktiviti ketenteraan pergerakan tersebut.
Menurut saksi dan pegawai Palestin, dua masjid musnah di kawasan Khan Younis di selatan Gaza dengan serangan ketiga mengenai kem pelarian Shati yang telahpun rosak sebelum ini akibat dibedil oleh tentera Israel.
Pegawai perubatan Palestrin berkata, serangan udara Israel itu turut meranapkan sebuah rumah di Al-Zawayda di tengah Gaza yang mengorbankan sepasang suami isteri dan dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun termasuk ibu saudara mereka yang berusia 45 tahun.
Israel memperhebatkan serangan selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar untuk membalas kematian seorang kanak-kanak Israel berusia empat tahun di rumahnya di kibbutz Nahal Oz, semalam akibat terkena mortar Hamas.
Mesir menerusi Kementerian Luarnya dalam pada itu mengeluarkan kenyataan ringkas, hari ini menggesa kedua-dua pihak menyambung kembali rundingan tidak langsung bagi melaksanakan gencatan senjata yang muktamad.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang berada di Kaherah selepas bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi turut menggesa supaya proses rundingan itu segera diadakan semula.
“Matlamat utama saya adalah supaya rundingan gencatan senjata diteruskan di Mesir secepat mungkin bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah,’’ kata Mahmoud pada sidang media selepas bertemu Abdel Fattah.
Diplomat Mesir sementara itu berkata, Kaherah menjangkakan pihaknya akan menerima maklum balas daripada Israel dan Hamas pada Isnin ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_04/Gaza-kembali-berdarah#ixzz3BG447sa0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment