GAZA 24 Ogos - Israel meneruskan serangan ke atas Gaza, hari ini dengan menjadikan sebuah bangunan kediaman setinggi 13 tingkat sebagai sasaran, mengakibatkan 17 penduduk Palestin cedera.
Israel mendakwa bangunan itu merupakan pusat kawalan pergerakan Hamas.
Dalam serangan itu Menara Al Zafer di Gaza City dilaporkan ranap.
Ia merupakan serangan Israel pertama yang memusnahkan satu struktur besar dan paling tinggi di Gaza sejak Israel melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu pada 8 Julai lalu.
Israel melancarkan 60 serangan udara hari ini, manakala Hamas melancarkan 64 roket dan mortar ke arah wilayah Israel.
Israel memberikan tembakan amaran 10 minit sebelum melancarkan serangan roket ke arah menara tersebut.
Penduduk tempatan berkata, bangunan tersebut merupakan kediaman bagi 44 keluarga.
Semalam, Israel melancarkan 55 serangan ke atas Gaza mengorbankan 10 orang penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ketika Mesir menggesa pergerakan Hamas dan rejim Zionis itu kembali ke meja rundingan damai.
Dalam pada itu, dua buah peluru berpandu dilancarkan dari Lebanon mengenai Galilee di Israel.
Sumber Israel dan Lebanon menyatakan mereka tidak dapat mengenal pasti siapa dalang serangan itu. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.
Dalam pada itu, Mesir menggesa Israel dan Palestin melaksanakan semula gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan.
Bagaimanapun, tiada tanda-tanda rundingan itu akan diadakan semula dengan gencatan senjata sebelum ini berakhir awal minggu ini tanpa sebarang penyelesaian.
Pegawai kesihatan Palestin berkata, kira-kira 2,085 orang penduduk Palestin terkorban, kebanyakan mereka orang awam termasuk lebih 400 orang kanak-kanak, sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 8 Julai lalu.
- REUTERS
No comments:
Post a Comment