Baitulmaqdis: Pesawat Israel semalam mengebom Gaza sementara pejuang Palestin bertindak balas dengan melancarkan 15 serangan roket.
Bagaimanapun setakat ini, belum ada tanda-tanda menunjukkan pertempuran akan meletus semula seperti yang berlaku kelmarin berikutan penculikan dan pembunuhan remaja Palestin berusia 16 tahun, Mohammed Abu Khder.
Remaja berkenaan dipercayai dibunuh kerana tindakan membalas dendam terhadap kematian tiga remaja Yahudi yang didakwa dilakukan kumpulan Hamas.
Polis Israel berkata, motif pembunuhan Mohammed tidak jelas dan enggan memberitahu bagaimana remaja itu mati.
Bagaimanapun, peguam keluarga mangsa berkata, mayat Mohammed rentung akibat dibakar penyerangnya.
Sehingga ini, tidak dapat dipastikan bila dia akan dikebumikan.
Pembunuhan Mohammed mencetuskan kemarahan penduduk Shuafat, tempat tinggal keluarganya.
Pertempuran meletus antara penduduk yang menggunakan batu untuk menyerang tentera dan polis Israel, bermula awal kelmarin hingga pagi semalam.
Pergaduhan juga merebak ke kebanyakan kawasan di timur Baitulmaqdis, menyebabkan 232 orang cedera, 178 daripadanya di Shuafat.
Pembunuhan Mohammed dikecam oleh pemimpin Palestin dan juga pemimpin luar negara.
Tentera Israel semalam mengaku mengebom Gaza yang dikuasai Hamas.
Pasukan perubatan Palestin melaporkan 11 orang cedera, seorang daripadanya parah, dalam serangan berkenaan.
Hamas berkata, kerajaan pimpinan Netanyahu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembunuhan remaja Palestin itu.
Ketegangan meningkat di rantau itu sejak 12 Jun lalu selepas kehilangan tiga remaja Yahudi yang mayat mereka ditemui Isnin lalu.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04
No comments:
Post a Comment