Friday 4 July 2014

Israel bedil 15 lokasi di Gaza


BAITULMAQDIS 3 Julai - Sebanyak 11 rakyat Palestin cedera apabila Israel melancarkan serangan ke atas 15 lokasi di Gaza, hari ini ketika serangan roket dilancarkan kumpulan pejuang mengenai dua buah rumah di selatan Israel.
Bagaimanapun, tiada kejadian keganasan terbaharu di timur Baitulmaqdis ekoran pembunuhan seorang remaja Palestin, dipercayai tindakan membalas dendam selepas tiga remaja Yahudi dibunuh pada awal bulan ini.
Jurucakap pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, 11 orang cedera termasuk seorang yang parah dalam serangan malam tadi.
"Tujuh orang cedera di Beit Lahiya di utara Gaza, manakala empat orang lagi di Gaza City,’’ katanya.
Tentera Israel mendakwa serangan pada waktu subuh itu dilancarkan selepas berpuluh-puluh roket Palestin mengenai Israel.
"Bekalan elektrik di Sderot terputus selepas sebuah roket mengenai sebuah rumah di bandar itu,’’ kata tentera Israel.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Israel mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelak keadaan bertambah buruk ekoran pembunuhan remaja Palestin tersebut.
"Kami menggesa satu perlindungan antarabangsa diberikan kepada penduduk Palestin daripada serangan penduduk penempatan haram selepas mereka yang berada di bawah perlindungan tentera Israel, terus menyerang rakyat negara ini,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel hari ini dilapor mengatur kedudukan tenteranya dan kereta kebal di sekitar Gaza.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner, namun beliau tidak menyebut jumlah tentera dan kereta kebal terlibat. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140704/lu_02/Israel-bedil-15-lokasi-di-Gaza#ixzz36RfzVamx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment