BANDAR GAZA - Serangan udara terbaharu yang dilancarkan ke atas Gaza oleh tentera Israel telah menyebabkan 11 orang awam terkorban semalam.
Ekoran kematian terbaharu itu, bilangan penduduk Palestin yang terkorban akibat kempen ketenteraan Israel itu kini mencecah 307 orang.
Serangan Israel ke atas wilayah Palestin memasuki hari yang ke-12 semalam.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bagaimanapun menyokong tindakan Israel itu untuk mempertahankan diri dari serangan roket para pejuang Gaza.
Namun, beliau menggesa serangan itu dikurangkan bagi mengelakkan peningkatan jumlah kematian orang awam.
Dalam satu serangan udara di luar sebuah masjid di selatan Khan Yunis, tujuh orang awam dilaporkan terkorban termasuk seorang wanita kelmarin, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra.
Israel dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya kini dalam operasi untuk memusnahkan terowong yang digunakan para pejuang Hamas merentasi sempadan selatan Israel.
Dalam pada itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kini berusaha untuk mendapatkan persetujuan mengenai gencatan senjata di Mesir dan Turki.
Beliau juga mendesak Perancis memberikan tekanan kepada kedua-dua buah negara itu untuk menerima gencatan senjata.
Dua orang warga Israel terbunuh dalam serangan roket para pejuang Palestin.
Kira-kira 2,250 penduduk Palestin dan sejumlah warga Israel mengalami kecederaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berlepas ke Asia Barat semalam untuk menamatkan kempen ketenteraan Israel ke atas Gaza. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0720&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz37y2ClKuu
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment