Monday 16 December 2013

Gaza lumpuh akibat banjir

 Gaza lumpuh akibat banjir Sebahagian bandar Gaza lumpuh akibat paras banjir naik mendadak sejak empat hari lalu.

16 Disember 2013
GENTING GAZA - PALESTIN. Lebih 4,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas utara Genting Gaza ditenggelami banjir dan turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin.

Menurut jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan bagi pelarian Palestin (UNRWA), Chris Gunness memberitahu paras banjir mencecah hingga dua meter di kebanyakan kawasan dan ramai penduduk terperangkap di kediaman mereka.

"Banjir besar tersebut berlaku akibat daripada hujan berterusan sejak empat hari lalu," katanya menurut Reuters.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, kira-kira 100 cedera berikutan cuaca buruk yang melanda wilayah tersebut sejak minggu lalu.

Jumaat lalu, salah satu laluan utama ke Gaza dibuka, sekali gus membenarkan bekalan bahan api dan empat pam air dihantar ke Genting Gaza untuk membantu menangani masalah banjir di bandar terbabit.

Dalam perkembangan lain, seorang penduduk Palestin dilaporkan cedera akibat dibedil kereta kebal rejim Zionis di selatan bandar Khan Yunis.

Tentera Israel turut mengesahkan insiden itu dan mendakwa kononnya tindakan tersebut terpaksa diambil kerana mangsa menghampiri tembok pemisah di kawasan terbabit.

No comments:

Post a Comment