Monday, 16 December 2013

Gaza banjir 5,000 dipindah


sukarelawan Pertahanan Awam Palestin membantu memindahkan penduduk selepas berlaku banjir di Gaza City, kelmarin. - AFP
GAZA 15 Dis. - Sekurang-kurangnya 5,000 penduduk Palestin terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, manakala seorang dilaporkan terkorban selepas banjir dan salji tebal melanda utara Gaza, semalam.
Menurut jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Chris Gunness, banjir tersebut berikutan hujan lebat yang beterusan sejak empat hari lalu.
“Kebanyakan kawasan di utara Gaza ditenggelami banjir sedalam dua meter dan keadaan boleh disifatkan ‘amat teruk’.
“Banjir yang melanda utara Gaza boleh diibaratkan seperti lautan," katanya.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 100 penduduk cedera ekoran banjir tersebut yang turut memusnahkan banyak harta benda.
Ramai penduduk terperangkap di dalam kediaman masing-masing ketika banjir melanda, serta menyebabkan beberapa kemalangan jalan raya di sekitar kawasan yang dinaiki air.
Beberapa sekolah dan bangunan dijadikan pusat perlindungan bagi penduduk yang terjejas akibat banjir.
Kegiatan harian penduduk di beberapa bandar utama Palestin termasuk Hebron lumpuh seketika akibat salji tebal.
Seorang lelaki berusia 22 tahun di sini, meninggal dunia akibat sesak nafas ketika menyalakan api bagi memanaskan rumahnya ekoran cuaca sejuk melampau.
Penduduk Gaza juga berdepan bekalan elektrik yang dicatu selama 12 jam setiap hari berikutan pencawang elektrik ditutup kerana kekurangan bahan api. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131216/lu_10/Gaza-banjir-5000-dipindah#ixzz2ndBJptGE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment