Sunday, 27 November 2016

Kebakaran merebak ke Tebing Barat



SEBUAH restoran di Kampung Nataf berhampiran Baitulmaqdis musnah dalam kebakaran. - AFP
Agensi
Baitulmaqdis: Kebakaran di kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis memaksa ratusan pendatang meninggalkan kediaman masing masing selepas pemindahan besar-besaran di kawasan lain di Israel.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Zionis berkata, lebih 12 orang ditangkap kerana disyaki memulakan kebakaran besar yang berlaku sejak Khamis lalu.

Bomba Israel dan Palestin dengan dibantu pesawat asing berusaha memadamkan puluhan kebakaran liar yang diburukkan dengan musim kering dan angin kencang.

Dalam kebakaran terbaru, 1,000 penduduk penempatan Yahudi di Halamaish berhampiran Ramallah terpaksa berpindah selepas 45 rumah rosak atau musnah akibat terbakar, kata jurucakap polis rejim berkenaan.

Kebakaran juga berlaku berhampiran penempatan Yahudi di Dolev, Alfei Menashe dan Karnei Shomron, semuanya di Tebing Barat.

Bagaimanapun, belum ada pemindahan berlaku di kawasan itu.

Pesawat memerangi kebakaran dari beberapa negara, termasuk Russia, Turki, Greece, Perancis, Sepanyol dan Kanada digunakan untuk menggugurkan air di kawasan kebakaran, termasuk Kampung Nataf berhampiran Baitulmaqdis.

Sebuah pesawat Supertanker dari Amerika Syarikat, pesawat bomba terbesar di dunia yang baru tiba, turut menyertai operasi itu semalam.

Polis berkata, mereka menangkap 14 orang yang disyaki menyebabkan kebakaran itu secara sengaja atau tidak.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka.

Di Haifa, bandar ketiga terbesar Israel, puluhan ribu penduduk yang dipindahkan Khamis lalu, mula kembali ke rumah masing-masing untuk menilai kerosakan.

Pemimpin Zionis berkata, mereka mengesyaki kebakaran itu sengaja dilakukan penduduk Arab Israel atau Palestin.

Bagaimanapun, pemimpin masyarakat Arab Israel menyangkal dakwaan itu dengan berkata, penduduk keturunan Arab yang mewakili 17.5 peratus populasi Israel juga terjejas akibat kebakaran berkenaan.

Pihak berkuasa Palestin turut menyertai usaha memadamkan kebakaran dengan menghantar 41 anggota bomba dan lapan trak ke Haifa, tempat kira-kira 200 keluarga hilang tempat tinggal.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:46 AM

No comments:

Post a Comment