am@hmetro.com.my
Baitulmaqdis: Pihak berkuasa Palestin, hari ini, menawarkan pasukan bombanya untuk membantu Israel yang terbakar, terutama di bandar ketiga terbesarnya, Haifa.
Sehingga ini, rejim itu masih bertarung untuk mengekang lebih 12 kebakaran lain di seluruh negara itu, pada hari keempat berturut-turut.
Sehingga petang ini, kira-kira 60,000 penduduk masih belum kembali ke rumah masing-masing selepas menyelamatkan diri daripada kebakaran besar di Haifa itu.
Polis dan bomba masih berada di sekitar bandar berkenaan kerana bimbang kebakaran merebak semula memandangkan cuaca kering dan berangin.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, puluhan penduduk dimasukkan ke hospital kerana terhidu asap manakala beratus kediaman rosak.
Dalam langkah yang dianggap pelik, rejim Zionis itu mengerahkan pasukan simpanan tentera menyertai polis dan tentera serta menggunakan beberapa pesawat yang dihantar beberapa negara untuk memadamkan kebakaran berkenaan.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, sebuah kampung kecil Yahudi di kawasan hutan berhampiran Baitulmaqdis dipindahkan, pagi ini, apabila beberapa rumah terbakar.
Menurutnya, 12 penduduk ditangkap kerana didakwa memulakan kebakaran dengan sengaja.
Pemimpin rejim Israel berkata, ada kemungkinan penyerang Arab sengaja mencetuskan kebakaran itu.
Ketua Polis Israel, Roni Alsheich memberitahu wartawan, siasatan awal menunjukkan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan ‘bermotifkan politik’.
Ia bermula tiga hari lalu di Neve Shalom, berhampiran Baitulmaqdis, disusuli dengan kebakaran di Zichron Yaakov, utara Israel dan kawasan lain berhampiran Baitulmaqdis sebelum merebak ke Haifa.
Beberapa negara, termasuk Russia, Perancis, Cyprus, Turki, Croatia, Greece dan Itali menghantar bantuan memerangi kebakaran itu.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 6:47 PM
No comments:
Post a Comment