Sunday 7 August 2016

Ratusan tahanan Palestin lancar mogok lapar


07 Ogos 2016 12:06 AM

BAITULMAQDIS 6 Ogos – Beratus-ratus tahanan Palestin melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap layanan buruk yang dilakukan oleh pengawal penjara terhadap mereka selain memberi sokongan kepada Bilal Kayed yang telah melancarkan mogok lapar selama 52 hari kerana ditahan tanpa dibicara.
Menurut kenyataan Kelab Tahanan Palestin, seramai 80 tahanan tidak menjamah makanan sejak semalam, menyertai 325 tahanan lain yang telah melancarkan mogok lapar sejak dua hari lalu di beberapa penjara di Israel dan Tebing Barat.
Menurut laporan Al Jazeera, jumlah mereka yang menyertai mogok lapar itu dijangka bertambah esok.
Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Pihak Berkuasa Palestin memberitahu AFP, tahanan ber­kenaan membantah serbuan yang diadakan di penjara pada ming­gu lalu yang berakhir dengan beberapa tahanan diasing dan dikurung bersendirian, barangan peribadi dirampas manakala beberapa tahanan turut dipindah ke penjara lain.
Difahamkan mereka yang terlibat dalam mogok lapar itu telah dikenakan denda AS$185 (RM745) setiap seorang dan tidak dibenarkan menerima pelawat selama dua bulan.
Dalam pada itu pegawai penjara Israel memberitahu, bantahan itu juga dilancarkan sebagai tindak balas terhadap keputusan pihak berkuasa untuk menahan tahanan dari kumpulan Hamas dalam sel yang berasingan.
Perkhidmatan Penjara Israel turut memaklumkan, pihaknya telah memindahkan tahanan Hamas, menggeledah sel dan me­rampas telefon bimbit setelah menerima maklumat risikan tentang keganasan dalam penjara.
Seorang jurucakap membe­ritahu AFP, pada masa ini terdapat 262 tahanan Hamas melancarkan mogok lapar bersama-sama 93 tahanan lain dari Barisan Pembebasan Popular Palestin (PFLP) yang melancarkan tindakan itu sebagai menyokong Bilal.
Bilal, 35, sepatutnya dibebaskan pada Jun lalu setelah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun setengah kerana terlibat dengan aktiviti PFLP yang dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh Israel, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel memerintahkan beliau dikekalkan dalam penjara berdasarkan undang-undang pentadbiran penahanan yang membenarkan tahanan ditahan tanpa dibicara selama tempoh enam bulan.
Bilal kini mengalami kegagalan buah pinggang dan telah kehila­ngan berat badan sebanyak 30 kilogram.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ratusan-tahanan-palestin-lancar-mogok-lapar-1.367334#sthash.k6mOwlUB.dpuf

No comments:

Post a Comment