Sunday, 8 May 2016

Israel serang lagi Gaza

Gaza: Pesawat rejim Zionis meneruskan serangan terhadap wilayah Palestin ini awal semalam, sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwanya serangan roket dari kumpulan pejuang.
Keganasan yang masuk hari keempat itu adalah yang terburuk sejak perang 50 hari pada 2014.
Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan roket itu. Bagaimanapun, Israel menyalahkan Hamas.
“Awal hari ini (semalam) satu roket ditembak dari Semenanjung Gaza, menyasarkan selatan Israel. Sebagai tindak balas, pesawat kami menyerang dua infrastruktur Hamas di selatan Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan tentera Israel.
Sumber keselamatan Hamas berkata, dua kilang batu di Khan Yunis menjadi sasaran serangan terbaru Israel itu. Ia menyebabkan kerosakan, tetapi tiada kemalangan jiwa.
Ia serangan hari keempat dalam keganasan rentas sempadan paling buruk sejak Perang 50 hari antara Israel dan Hamas yang menyebabkan 2,251 penduduk Palestin dan 73 Israel terbunuh pada 2014.
Khamis lalu, seorang wanita Palestin terbunuh apabila rumahnya terkena bedilan tembakan sebuah kereta kebal Israel.
Israel mendakwa Hamas dan kumpulan pejuang Palestin menembak sekurang-kurangnya 12 mortar, menyasarkan tentera Israel yang mencari terowong di sepanjang sempadan Gaza.
Terowong seumpama itu menjadi senjata Hamas paling ditakuti oleh Israel pada konflik 2014.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:04 AM


GAMBAR menunjukkan sebuah menara tinjau milik Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, di Rafah yang bersempadan dengan Israel, musnah dalam serangan udara rejim Zionis, semalam.

No comments:

Post a Comment