Gambar bertarikh 5 Mei lalu memaparkan kepulan asap susulan serangan tentera Israel ke kedudukan Hamas di Rafah, selatan Genting Gaza. AFP
GAZA CITY 7 Mei – Wilayah Gaza terus digempur tentera Israel apabila dua lagi bangunan pergerakan Hamas dimusnahkan dalam serangan udara awal hari ini, sekali gus membangkitkan kebimbangan tercetusnya konflik yang lebih besar antara kedua-dua pihak.
Rejim Zionis memberi alasan serangan tersebut dilancarkan sebagai membalas serangan roket dari wilayah Gaza ke kawasan jajahan Israel walaupun tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.
“Awal hari ini, satu serangan roket dilancarkan dari Genting Gaza ke selatan Israel.
“Sebagai tindak balas, pesawat tentera mengebom dua bangunan milik Hamas di selatan wilayah tersebut,” jelas kenyataan tentera Zionis.
Susulan serangan udara itu, Hamas melaporkan dua bangunan musnah tetapi tiada kematian berlaku.
Konflik antara Hamas dan Israel berterusan sejak empat hari lalu, sekali gus membayangkan krisis yang lebih serius tercetus seperti pada Julai 2014 yang menyaksikan lebih 2,251 penduduk Palestin maut akibat pertempuran dua pihak itu.
Tentera Israel dilaporkan sebagai punca ketegangan terbaharu kerana menceroboh wilayah Gaza untuk mencari terowong milik Hamas, menyebabkan beberapa kumpulan sayap pergerakan Palestin itu melancarkan serangan mortar ke arah tentera Zionis.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniya berkata, pihaknya tidak mahu terlibat dalam perang baharu tetapi tidak akan mendiamkan diri dengan tindakan rejim Israel menceroboh wilayah Palestin. – AFP
No comments:
Post a Comment