Saturday 17 October 2015

Palestin gesa tentera antarabangsa ditempat di Timur Baitulmaqdis

SABTU, 17 OKTOBER 2015 @ 12:51 AM

PBB: Israel menolak gesaan Palestin supaya pasukan perlindungan antarabangsa dikerahkan ke Timur Baitulmaqdis untuk meredakan keganasan di Masjid Al-Aqsa. Wakil Palestin Riyad Mansour minggu ini berkata, situasi "amat bahaya" di perkarangan tapak suci itu dan Majlis Keselamatan perlu mencari jalan "menyediakan perlindungan" kepada rakyat Palestin. "Situasi sekarang memerlukan perlindungan kepada rakyat kami di jajahan yang diduduki bermula di Bandar Lama Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa," katanya kepada media. Mansour berkata, negara Arab sedang mempertimbangkan satu deraf resolusi penyelesaian yang menuntut pengunduran tentera Israel dari kawasan pergolakan dan menggesa pengerahan tentera pelindung di Al-Aqsa. Namun gesaan itu ditolak Timbalan Duta Israel David Roet yang memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pihaknya tidak akan bersetuju ke atas mana-mana kehadiran pasukan antarabangsa di Temple Mount. "Kehadiran itu akan menyebabkan satu perubahan dalam status quo," katanya kepada 15 negara anggota majlis yang bertemu dalam sesi tergempar bagi membincangkan keganasan berlarutan selama beberapa minggu antara Israel dan Palestin di Baitulmaqdis dan jajahannya. Pada Jumaat, seorang lelaki yang menyamar sebagai jurugambar berita menikam tentera Israel sebelum ditembak mati. Rakyat Palestin yang berang membakar tempat suci penduduk Yahudi di Tebing Barat ketika mereka melancarkan "revolusi Jumaat" ke atas Israel. Tentera Israel dikerahkan secara besar-besaran di Baitulmaqdis selepas keganasan dua minggu yang menyaksikan 39 rakyat Palestin maut dan beratus lagi cedera dalam pertembungan dengan tentera Israel. Tujuh rakyat Israel maut dengan berpuluh lagi cedera. Perkarangan Masjid Al-Aqsa adalah tapak suci ketiga umat Islam. Umat Islam bimbang Israel mahu menukar peraturan mentadbir tapak itu, yang membolehkan penduduk Yahudi melawat namun tidak dibenarkan berdoa bagi mengelak mencetuskan provokasi. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berulang kali berkata, beliau komited kepada status quo. Tiada deraf resolusi dibentangkan kepada anggota majlis Jumaat namun Duta Perancis Francois Delattre berkata beliau akan mengedarkan satu kenyataan deraf merayu situasi tenang. -AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/89565

No comments:

Post a Comment