BAITULMUQADDIS – Lebih 30,000 orang dijangka berhijrah ke Israel pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun lalu, kata Menteri Imigresen, Zeev Elkin kelmarin.
Daripada jumlah itu, warga Perancis mencatat angka terbesar sebagai penduduk baharu dengan anggaran 7,500 orang berbanding hanya 3,440 pada 2013.
Pada Januari lalu, selepas empat penduduk Yahudi dibunuh dalam satu serangan di sebuah pasar raya di Paris, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan jemputan kepada golongan Yahudi di Perancis dan Eropah untuk berhijrah ke sana.
Komuniti Yahudi Perancis dianggarkan seramai 500,000 hingga 600,000 orang iaitu yang paling besar di Eropah dan merupakan salah satu komuniti yang terbesar di dunia.
Sementara itu, golongan Yahudi dari Ukraine yang berhijrah ke Israel pula dijangka seramai 7,100 orang diikuti Rusia (6,300) dan Amerika Syarikat (2,900).
Israel mempunyai polisi dikenali sebagai ‘aliyah’ yang menggalakkan kaum Yahudi di seluruh dunia untuk berhijrah ke negara mereka.
Sejak negara haram itu ditubuhkan pada 1948, lebih tiga juta orang Yahudi telah berbuat sedemikian.
Negara itu dianggarkan mempunyai populasi penduduk seramai 8.4 juta orang, menurut laporan Statistik Biro Pusat pada September lalu dengan 75 peratus daripadanya adalah Yahudi. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3ovqys9WD
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment