Kematian terbaharu itu menjadikan angka kematian dalam kalangan penduduk Palestin meningkat kepada 40 orang sepanjang 17 hari keganasan selepas dua penunjuk perasaan orang ditembak mati di Semenanjung Gaza dan dua lagi di Tebing Barat hari ini.
Menurut portal Palestinian Information Center, sekurang-kurangnya 211 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan ke-selamatan Israel di Gaza, termasuk 88 daripada jumlah tersebut terkena tembakan peluru hidup.
Selain itu portal Al Jazeera me­laporkan, keganasan tersebut tercetus di Erez dekat sempadan Palestin-Israel apabila beribu-ribu penunjuk perasaan membantah penindasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dan wilayah Gaza.
Pertempuran antara penunjuk perasaan dan askar Israel memaksa campur tangan pejuang Hamas menghalang rakyat Palestin memasuki Erez ekoran kehadiran pa­sukan keselamatan rejim Zionis yang semakin ramai.
Dalam pada itu, Israel membantah permintaan wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Riyad Mansour yang menggesa Majlis Keselamatan untuk campur tangan mempertahankan rak­yat Palestin menerusi penempatan pasukan pemantau antarabangsa.
Mansour turut menggesa pasukan keselamatan Israel berundur daripada lokasi sensitif terutamanya di Masjid Al-Aqsa dan timur Baitulmaqdis bagi meredakan keadaan.
Namun Timbalan Duta Israel, David Roet berkata kepada Majlis Keselamatan PBB, kehadiran pasukan pemantau antarabangsa hanya memburukkan lagi keadaan dan mengubah status quo di Baitulmaqdis.  AFP