Ketua Sempadan Gaza, Maher Abu Sabha berkata, pintu sempadan Rafah akan dibuka selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan kira-kira 15,000 penduduk Palestin menggunakan laluan tersebut.
Rafah merupakan satu-satunya pintu sempadan menghubungkan penduduk Palestin dengan dunia luar, yang tidak dikuasai oleh Israel.
Bagaimanapun, Mesir sering menutup pintu sempadan berkenaan semenjak pergerakan Hamas berjaya menawan kawasan-kawasan di bahagian Semenanjung Gaza pada 2007.
Sekatan semakin diperhebatkan terutamanya selepas bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi digulingkan pada 2013.
Sepanjang tahun ini, Mesir hanya membuka pintu sempadan berkenaan selama lima hari. – AP