Wednesday 1 April 2015

Penduduk Gaza tinggal dalam sisa runtuhan


SEORANG kanak-kanak Palestin berdiri di hadapan khemah tempat keluarganya tinggal selepas rumah mereka musnah akibat perang dengan Israel tahun lalu di kejiranan Shijaiyah, Bandar Gaza kelmarin.


BANDAR GAZA – Kecewa kerana usaha pembinaan semula terlalu perlahan, penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat perang dengan Israel mula pulang ke sisa kediaman masing-masing.
Mereka cuba membaiki kerosakan struktur rumah menggunakan serpihan batu-bata dan helaian plastik walaupun terpaksa tinggal dalam bangunan yang kurang stabil dan tidak selamat, manakala bantuan yang dijanjikan belum tiba.
Kepulangan penduduk Gaza itu membayangkan kegagalan pihak berkuasa tempatan dan masyarakat antarabangsa untuk membina se­mula Gaza selepas perang antara Hamas dan Israel pada musim panas tahun lalu.
Pihak berkuasa Palestin memaklumkan bahawa kebanyakan daripada bantuan antarabangsa bernilai AS$5 bilion (RM18.5 bilion) yang dijanjikan tidak pernah diterima.
Penduduk Gaza pula sudah hilang sabar ekoran bantuan yang dijanjikan tidak pernah dihulurkan.
“Kami sudah hilang harapan. Tiada siapa berminat untuk membantu kami,” kata Mohammed Afana, 27, dari kejiranan Shaaf, timur Bandar Gaza.
Shaaf yang terletak berhampiran sempadan Israel merupakan antara kawasan yang paling teruk dibedil. Runtuhan bangunan empat tingkat yang menjadi tempat tinggal Mohammed dan keluarganya terletak di tengah kawasan kejiranan tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seba­nyak 18,000 buah rumah sekitar Gaza musnah dalam perang 50 hari itu, manakala 110,000 penduduk te­lah kehilangan tempat tinggal.
Hampir 10,000 penduduk Gaza masih tinggal di sekolah-sekolah kelolaan PBB yang dijadikan pusat perlindungan sementara.
Wakil Khas Program Pembangunan PBB, Frode Mauring mendedahkan hanya lima hingga 10 peratus daripada bantuan AS$5.4 bilion (RM20 bilion) yang dijanjikan pada Oktober lalu telah diterima sementara Israel pula lambat meluluskan penghantaran bahan binaan ke Gaza. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3W0YrnOy3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment