Laporan jenayah perang Israel ke ICC
Ribuan nyawa terkorban sepanjang 50 hari serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
PARIS - PERANCIS. Persekutuan Antarabangsa Hak Asasi Manusia (FIDH) mengemukakan laporan terperinci kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyelar Israel kerana jenayah perang dan kemanusiaan ke atas Semenanjung Gaza semasa musim panas lalu.

Laporan badan hak asasi manusia berpangkalan di Paris itu dibentangkan beberapa hari sebelum Palestin disahkan secara rasmi sebagai ahli ICC.

Dalam laporan bertajuk Trapped and Punished:The Gaza Civilian Population under Operation Protective Edge itu, FIDH merujuk kepada contoh serangan langsung terhadap orang dan objek awam, kekerasan, serta serangan yang menyasarkan perkhidmatan perubatan ketika Operasi Perlindungan Sempadan.

Difahamkan juga melalui laporan Press TV, badan bukan kerajaan tersebut merupakan organisasi pertama mendapat akses ke Semenanjung Gaza selepas gencatan senjata Ogos lalu, dan turut menampilkan keterangan mangsa sepanjang 50 hari perang berlaku.

"Kini masanya ICC melakukan siasatan penuh. Pendakwa harus turun padang untuk melihat sendiri kesan jenayah yang dilakukan. Rakyat Palestin telah menunggu keadilan sejak sekian lama," menurut Naib Presiden FIDH, Shawan Jabbarin.