pasukan keselamatan Israel berkawal ketika penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat di sebatang jalan di luar Bandar Lama di timur Baitulmaqdis, semalam. – AFP
BAITULMAQDIS 31 Okt. – Tindakan Israel menutup perkarangan Masjid Al-Aqsa kepada semua pengunjung ekoran kejadian tembakan ke atas seorang penganut Yahudi adalah sama seperti `pengisytiharan perang’, kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam.
Bagaimanapun The International News melaporkan, Israel kembali membuka semula perkarangan masjid itu, hari ini, bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan situasi di jalan-jalan di Baitulmaqdis timur kelihatan agak tenang selepas insiden penutupan kawasan tersebut, semalam.
“Konflik di Baitulmaqdis yang semakin memuncak adalah satu pengisytiharan perang ke atas penduduk Palestin dan tempat-tempat sucinya termasuk tanah Arab serta negara Islam.
“Kami mahu Israel bertanggungjawab, kerana mencetuskan situasi itu di Baitulmaqdis yang mencapai kemuncak dengan penutupan Masjid Al-Aqsa, pagi ini,’’ kata jurucakap Presiden, Nabil Abu Rudeina yang memetik kenyataan Mahmoud.
Perkarangan itu menempatkan tempat suci ketiga Islam, yang juga merupakan tempat paling suci bagi penganut Yahudi yang merujuknya sebagai Temple Mount kerana ia pernah menempatkan dua kuil Yahudi.
Walaupun bukan Islam boleh melawat kawasan itu, namun penganut Yahudi tidak dibenarkan bersembahyang di perkarangan masjid itu kerana dibimbangi mampu menjejaskan status quo kawasan tersebut.
“Keputusan itu amat berbahaya dan cabaran terang-terangan yang boleh mengakibatkan ketegangan dan ketidakstabilan dan juga mewujudkan situasi berbahaya dan negatif.
“Palestin akan mengambil langkah undang-undang bagi mendesak Israel bertanggungjawab dan menghentikan serangan itu,’’ kata Mahmoud. – AFP/AGENSI
No comments:
Post a Comment