SABTU, 1 NOVEMBER 2014 @ 9:04 AM
Jam tangan penulis menunjukkan tepat 4 petang, iaitu menghampiri waktu Maghrib di Gaza, ketika kami baru tiba di Zanna, sebuah perkampungan di timur Khan Younis yang teruk dibedil Israel dalam peperangan lalu. Dari dalam kenderaan, penulis dapat melihat kesan kemusnahan perang dengan runtuhan bangunan di kanan dan kiri jalan yang berdebu sepanjang perjalanan kami dari kesibukan Khan Younis di selatan Gaza hinggalah ke kawasan perkampungan itu yang rata dibedil Israel.
Bangunan ranap menyembah bumi
Ada bangunan yang mempunyai lubang besar kesan bedilan roket dan ada juga bangunan ranap menyembah bumi dibedil kereta kebal Israel yang menggempur kawasan itu dalam operasi darat rejim Zionis.
Kurang 15 minit perjalanan, kenderaan yang membawa penulis dengan penterjemah, Abdul Rahman Al Farra serta dua sukarelawan tempatan berhenti di kawasan runtuhan itu, ketika anak-anak kecil berlari melintasi bangunan runtuh selepas pulang dari sekolah sesi petang.
Penulis yang bergegas keluar dari kenderaan itu menyedari kebanyakan bangunan yang runtuh, sama ada rumah, sekolah mahupun masjid, dipacakkan bendera Palestin di atasnya, yang sesekali berkibar megah ditiup angin dari Laut Mediterranean di barat Gaza. "Ini tandanya Palestin tak akan jatuh, Palestin akan tetap bangun, walaupun kami diserang bertubitubi," kata Abdul Rahman ketika kami melewati deretan bangunan runtuh itu.
Dikepung segenap penjuru
Gaza yang dikepung di segenap penjuru oleh rejim Zionis, mengalami kemusnahan yang dahsyat dalam pertempuran selama 50 hari bermula 8 Julai lalu apabila diserang buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun sejak Hamas menguasai wilayah konflik yang didiami 1.8 juta warga Palestin. Israel dilaporkan melancarkan operasi ketenteraan Protective Edge bagi melumpuhkan keupayaan kumpulan Hamas selepas rejim Zionis itu mendakwa bedilan roket dan mortar dilancarkan ke arah Tel Aviv.
Jika peperangan pertama pada penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009 menyebabkan 1,400 nyawa terkorban, dan perang pada lewat tahun 2012 membunuh 177 nyawa, pertempuran kali ini pula menyebabkan lebih 2,100 terkorbandengan kerosakan harta benda berbilion ringgit selain 108,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal.
Kritikalnya kesan kemusnahan dalam pertempuran kali ini hinggakan Pihak Berkuasa Palestin mengumumkan bahawa Gaza memerlukan AS$7 bilion (RM22.4 bilion) untuk dibangunkan semula. Kira-kira dua minggu lalu, masyarakat dunia pada persidangan khas anjuran Mesir dan Norway, berikrar menyalurkan AS$5.4 bilion (RM17.28 bilion) bagi membantu Gaza selepas lebih 18,000 rumah dilaporkan musnah dalam pertempuran lalu.
Ibrahim Abu Jama, 30, yang ditemui penulis ketika sedang membersihkan kawasan rumahnya di Zanna menyifatkan pertempuran kali ini merugikan kedua- dua pihak. "Ini adalah ibu segala pertempuran di Gaza," kata Ibrahim yang menjadi pelarian dalaman bersama ahli keluarganya selepas rumah mereka musnah dibedil jet pejuang Israel.
Ibrahim dan keluarganya kini menyewa di kawasan berdekatan dengan sewa bulanan AS$200 (RM640) iaitu separuh daripada gaji bulanan kakitangan kerajaan itu.
Zanna kurang dapat liputan
Penduduk di situ memberitahu Zanna kurang mendapat liputan selepas media antarabangsa lebih memberi tumpuan di kawasan Khujaa dan Shujaiya di utara bandar Gaza. "Di sinilah, Israel memulakan operasi darat dengan ketumbukan kereta kebal selepas jet pejuang mereka membedil seluruh Gaza," kata seorang penduduk tempatan yang enggan dinamakan atas faktor keselamatan.
Penulis tidak mengambil masa lama untuk menyaksikan betapa besarnya skala konflik pertempuran antara Hamas-Israel itu selepas berjaya memasuki Gaza pada petang 15 Oktober lalu selepas lebih seminggu menunggu dengan penuh debaran di Kaherah. Menerusi sempadan Rafah di bawah kawalan Mesir, penulis dan Pengarah Serantau Mercy Malaysia bagi Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah, Norazam Ab Samah, memasuki Gaza bersama sekumpulan 13 sukarelawan dan doktor dari Algeria, sekali gus menjadi rakyat Malaysia terawal memasuki wilayah konflik itu selepas gencatan senjata tanpa had diisytiharkan 26 Ogos lalu.
Sebelum itu terdapat badan kemanusiaan dari Malaysia yang cuba memasuki Gaza lebih 12 kali, namun gagal selepas tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Mesir ekoran ancaman militan di wilayah utara Sinai. Ketika perang masih berlangsung, hanya tiga wakil Malaysia termasuk Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dibenarkan meneruskan perjalanan ke Rafah dengan iringan konvoi tentera Mesir.
Masjid hampir runtuh dibedil rejim Zionis
Dari runtuhan bangunan di jalan utama di Zanna, penulis sempat memasuki sebuah masjid yang hampir runtuh dengan sebahagian dindingnya roboh dibedil kereta kebal rejim Israel. Dari bahagian pintu depan masjid itu, penulis dapat melihat dengan jelas dinding bel a k a n g m i m b a r ny a yang roboh, menampakkan kemusnahan di bumi Anbia itu.
Di Masjid Al-Hareth yang menaranya masih tegak berdiri itu, penulis menemui sekumpulan anak kecil seawal lima tahun hingga belasan tahun, membaca al-Quran dibimbing seorang ustazah. Nisma Quider, 22, ustazah yang tinggal tidak jauh daripada masjid itu memberitahu ada 35 kanak-kanak dan remaja yang belajar al Quran di situ dan mereka meneruskan pengajian sebaik pertempuran tamat. Ketika itu, penulis berasa amat sayu dan hiba apabila melihat anak kecil Palestin itu terus mengalunkan ayat suci al-Quran dalam masjid yang hampir roboh dengan penuh istiqamah, seolah- olah tiada apa yang berlaku.
"Mereka boleh menyerang kami, membedil kami, memusnahkan harta benda kami, malah mengambil nyawa kami, tapi mereka tidak boleh mengambil al-Quran dan Palestin dari jiwa kami," kata Nisma yang berpurdah. Dalam kalangan anak murid Nisma adalah Ala RoidAl Qadwa, 11, yang kematian bapanya dalam pertempuran lalu menyebabkan penulis bertambah pilu.
"Ayah menunggu saya di syurga," katanya yang mempunyai lapan beradik dan menjadi yatim piatu selepas bapa mereka mati terkena bedilan roket rejim Zionis ketika puncak pertempuran, akhir Julai lalu. Sebelum itu Ala Roid bersama rakan-rakannya membacakan surah Al-Balad yang bermaksud 'kota', sekali gus terdetik di hati penulis; sekiranya Gaza sebuah kota,
maka ia adalah kota yang tidak dibela.
No comments:
Post a Comment