Rakyat Palestin menandatangani bendera sepanjang 66 meter yang mengandungi 25,000 tanda tangan yang diterbangkan dari Kanada ke bandaraya Ramallah di Tebing Barat. Bendera itu pada mulanya dipamerkan di Ottawa dalam satu perhimpunan di Parlimen Julai lalu. - Foto AFP |
RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmud Abbas hari ini mengalu-alukan keputusan Sweden untuk mengiktiraf dengan rasmi Palestin sebagai sebuah negara.
"Presiden Abbas menyambut baik keputusan Sweden itu," kata jurucakap presiden Palestin itu, Nabil Rudeina.
Katanya, Presiden Abbas menyifatkannya sebagai 'keputusan berani dan bersejarah'.
Sweden adalah negara pertama di barat Eropah yang mengiktiraf Palestin.
Keputusan Sweden itu diumumkan oleh Menteri Luarnya, Margot Wallstrom dalam kenyataan yang disiarkan oleh akhbar 'Dagens Nyheter daily'.
"Ia adalah langkah penting yang memberi pengiktirafan kepada rakyat Palestin," katanya, sambil berharap ia menjadi ikutan negara lain.
Perdana Menteri baharu Sweden, Stefan Loefven mengumumkan dalam ucapan pertamanya di Parlimen awal bulan ini bahawa negaranya akan menjadi negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pertama di barat Eropah untuk mengiktiraf negara Palestin.
Ketika Palestin menyambut baik langkah itu, Israel pula memanggil Duta Sweden sebagai tanda bantahan dan menyatakan kekecewaannya.
Israel mahukan Palestin memperoleh taraf negara yang dijanjikan kepada mereka menerusi rundingan terus dan bukan melalui saluran diplomatik.
Tujuh negara EU di timur Eropah dan Mediterranean sudah pun mengiktiraf negara Palestin iaitu Bulgaria, Cyprus, Republik Czech, Hungary, Malta, Poland dan Romania.
Negara bukan anggota EU, Iceland, adalah negara di barat Eropah yang memberi pengiktirafan kepada Palestin. - AFP
No comments:
Post a Comment